Saturday, 2 October 2021

Bantuan kewangan SMPC 'menghina' aspirasi, falsafah pendidikan negara


Saya kecewa. Saya pasti ramai juga seperti saya sangat kecewa. Saya percaya ramai ahli-ahli UMNO, BERSATU dan PAS yang dulunya hebat menentang UEC juga rasa kecewa.


Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) adalah sekolah swasta. Sama seperti sekolah antarabangsa. Sebab statusnya adalah swasta, SMPC boleh menggunakan kurikulum negara lain. Itu dibenarkan.


Pada tahun 1960, SMPC telah ditawarkan untuk berada di dalam sistem pendidikan kebangsaan sebagai SMJC oleh kerajaan. Tetapi sebahagian SMPC telah menolak mentah -mentah jemputan kerajaan.


Sebahagian lagi SMPC menerima dan menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJC). SMJC yang bersetuju masuk ke dalam sistem pendidikan kebangsaan tentulah layak menerima peruntukan kerajaan setiap tahun.


Tetapi SMPC yang menolak dan tidak mahu berada di dalam sistem pendidikan kebangsaan dan memilih menjadi sekolah menengah swasta mengambil dapat peruntukan juga?


Jika begitu, sekolah antarabangsa swasta yang lain juga layak menerima peruntukan kerajaan. Mengapa tidak diberikan? Sekolah swasta antarabangsa juga terjejas teruk ketika pandemik.


Bila kerajaan baru-baru ini meluluskan RM15 juta (sebenarnya telah berlaku sejak dulu), tindakan kerajaan sebenarnya telah 'menghina' aspirasi dan falsafah sistem pendidikan kebangsaan.


Mengapa DONG ZONG yang menolak dan menentang keras cadangan supaya dimasukkan di dalam sistem pendidikan kebangsaan diberikan peruntukan sebegitu besar untuk menjalankan SMPC?


Apa keistimewaan SMPC? Bila SMPC menerima peruntukan kerajaan, ini tentulah tidak adil pada SMJC yang telah menerima sistem pendidikan kebangsaan sejak sekian lama.


Dr Anuar Ahmad, 

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan 

Universiti Kebangsaan Malaysia

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon