PUTRAJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) memaklumkan bahawa urusan temu duga bagi Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 Secara One-Off Tahun 2021 akan diadakan secara berfasa bermula 8 September 2021. Perkara tersebut dimaklumkan melalui satu pengumuman yang dibuat di laman Facebook rasmi suruhanjaya tersebut.
"Urusan temu duga bagi pengambilan kahs ini hanya akan melibatkan calon Graduan Pendidikan sama ada lepasan universiti awam, swasta ataupun luar negara yang melepasi tapisan yang telah ditetapkan oleh SPP.
"Setiap calon hanya akan dipanggil temu duga sekali sahaja mengikut opsyen yang ditetapkan oleh SPP," katanya.
SPP juga memaklumkan panggilan temu duga bagi Fasa 1 boleh disemak di Portal SPP pada 3 September 2021 yang akan melibatkan opsyen-opsyen seperti Bahasa Cina, Bahasa Semai, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun, Muzik, Tahfiz, Bimbingan dan Kaunseling (SJKC), Pendidikan Seni / Seni Visual (SJKC), Pendidikan Khas (SJKC), Pendidikan Moral (SJKC), Muzik (SJKC), Sejarah (SJKC), Reka Bentuk Teknologi (SJKC), Matematik (SJKC) dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (SJKC).
"Selain itu, pemakluman panggilan temu duga adalah hanya kepada calon yang layak sahaja.
"Calon-calon yang memohon tetapi tidak melepasi tapisan tidak akan menerima sebarang pemakluman semasa prose semakan panggilan temu duga kelas," katanya lagi.
SPP mengingatkan kepada semua calon yang memohon untuk sentiasa bersedia dan melayari laman sesawang dan platform media sosial rasmi SPP bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan urusan temu duga pengambilan khas ini.