![]() |
Imej hiasan |
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata KPM perlu melakukan persiapan inklusif termasuk mengambil kira nasib 1.85 juta murid yang tidak dapat meneruskan pembelajaran dalam talian kerana tiada peranti.
"Kekurangan atau kekangan dihadapi 1.85 juta murid itu mendorong kepada hilang motivasi dan keciciran pembelajaran.
"Keadaan itu menyebabkan wujud jurang pembelajaran antara murid di negara ini semakin meningkat terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah," katanya, hari ini.
Anuar berkata, sebahagian kecil murid dibantu guru dengan memberi nota tetapi ada sesetengah murid tidak dapat meneruskan pembelajaran secara berkesan melalui Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Beliau berkata, KPM pada asasnya sedar isu keciciran pembelajaran murid terbabit dengan mengumumkan Januari hingga Mac 2022 adalah untuk mengisi program intervensi keciciran pembelajaran.
"Cuma sehingga kini, kita masih belum jelas apakah bentuk intervensi akan dilakukan. Adakah secara berpusat atau diserahkan kepada Pejabat Pendidikan daerah (PPD) dan sekolah untuk mengatur program intervensi ini.
"Sebaiknya KPM perlu menyediakan garis panduan jelas dan senarai Indeks Prestasi Utama (KPI) intervensi untuk PPD dan sekolah membangunkan program itu mengikuti keperluan lokaliti masing-masing," katanya.
Mengulas mengenai isu kebajikan murid, beliau berkata selepas hampir dua tahun dilanda pandemik, banyak pengalaman buruk dilalui mereka termasuk kehilangan ahli keluarga seperti ibu bapa dan adik-beradik akibat COVID-19.
"Ada ramai ibu bapa kehilangan pekerjaan. Kes kesihatan mental, kemurungan dan tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak serta remaja meningkat berkali ganda sepanjang tempoh pandemik.
"Pengumuman pembukaan sekolah bukan hanya fokuskan kepada soal menguruskan akademik semata-mata. Sepatutnya pembukaan sekolah juga memberikan keutamaan juga kepada isu kebajikan dan kesejahteraan murid.
"Penting untuk sekolah memulihkan kembali psikologi murid dan motivasi pembelajaran mereka sebelum memulakan sesi pembelajaran," katanya.