KUALA TERENGGANU: Seramai 36,507 pelajar Tingkatan Empat dan Lima di Terengganu akan menerima suntikan vaksin COVID-19, mulai Selasa ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata proses vaksinasi semua pelajar itu akan dilakukan di 54 sekolah di seluruh negeri.
Katanya, semua pelajar berusia 16 tahun dan 17 tahun terbabit akan menerima suntikan vaksin jenis Pfizer.
"Berdasarkan data jumlah pelajar yang akan menerima vaksinasi, seramai 18,264 adalah pelajar Tingkatan Empat, manakala baki 18,243 adalah pelajar Tingkatan Lima.
"Pelajar ini adalah dari sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk sekolah menengah agama dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)," katanya pada media selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Kedai Payang, di sini, hari ini.
Yang turut serta adalah Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu, Rozali Salleh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah.
Pada program itu, Dr Kasemani turut mengagihkan pelitup muka sumbangan Ahmad Shah kepada semua peniaga.
Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, program vaksinasi kepada semua pelajar Tingkatan Empat dan Lima itu dijangka siap sepenuhnya sebelum sesi persekolahan bermula pada 3 Oktober depan.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan memberi keutamaan melakukan suntikan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima sebagai persediaan mereka menduduki peperiksaan.
Mengenai pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga, beliau berkata, JKNT sedang menunggu kelulusan untuk memberi mereka vaksinasi.