![]() |
Imej hiasan |
16 September - Model pembukaan sekolah secara bergilir mingguan yang diperkenalkan oleh KPM akan mewujudkan tiga kumpulan pelajar di dalam sesebuah kelas kata seorang pakar pendidikan.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad mengulas keputusan KPM untuk membuka semula sekolah dengan melaksanakan proses penggiliran secara mingguan sebagai satu langkah yang kurang tepat.
"Ada yang berpandangan pendekatan terbaik membuka semula sekolah ialah mengikut daerah secara berperingkat dan bukannya mengikut negeri berdasarkan fasa pemulihan.
"Maksudnya, dalam sebuah negeri, akan ada daerah yang kadar jangkitan adalah rendah dan terkawal. Jadi bukalah dahulu sekolah di daerah tersebut. Bagi daerah yang masih tinggi kadar jangkitan, sekolah tidak boleh dibuka dahulu.
"Vaksinasi juga adalah penentu sebenar kepada pembukaan sekolah. Sepatutnya hanya sekolah yang murid-murid telah divaksinkan sahaja dibenarkan beroperasi semula.
Beliau berkata untuk mendapatkan kembali keyakinan ibu bapa menghantar anak-anak kembali ke sekolah perkara di atas perlu diberi perhatian.
"Sebenarnya model pembukaan sekolah secara bergilir mingguan yang diperkenalkan oleh KPM akan mewujudkan tiga kumpulan pelajar di dalam sesebuah kelas iaitu kumpulan A, kumpulan B dan kumpulan C (kumpulan murid-murid yang tidak dibenarkan oleh ibubapa untuk ke sekolah).
"Andainya satu kelas 36 orang murid, dipecahkan kepada kumpulan A dan kumpulan B maka setiap kumpulan akan ada 18 murid.
"Tapi pasti ada sebahagian dari murid kumpulan A dan sebahagian murid kumpulan B yang tidak akan dibenarkan oleh ibubapa ke sekolah. Kumpulan ini akan membentuk kumpulan C iaitu kumpulan 'cicir'," katanya.
Menurut beliau kumpulan 'cicir' adalah mereka yang langsung tidak hadir ke sekolah. Oleh itu mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran bersemuka di sekolah.
Golongan ini juga pada masa yang sama, tidak dapat mengikuti PdPR bermodul pada minggu seterusnya kerana tidak hadir ke sekolah pada minggu sebelumnya.