PUTRAJAYA - Pengoperasian sekolah menjadi agenda perbincangan di dalam mesyuarat pasca kabinet Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) petang tadi. Perkara tersebut dimaklumkan oleh menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Mesyuarat yang dihadiri oleh Timbalan Menteri dan pengurusan kanan kementerian itu dipengerusikan sendiri oleh beliau.
"Saya menekankan tentang peri pentingnya usaha baik yang dirancang sebelum ini diteruskan. Antaranya ialah perkara berkaitan kebajikan guru, termasuklah pengambilan khas guru secara one-off, permohonan pertukaran dan pembangunan profesionalisme.
"Saya juga mekankan kepentingan untuk meneruskan perancangan berkaitan kebajikan, pembangunan dan kemenjadian murid. Ini termasuklah usaha-usaha menangani keciciran murid," jelasnya.
Di dalam agenda pengoperasian sekolah, beliau memberi penekanan kepada beberapa aspek termasuklah data vaksinasi guru, AKP dan kakitangan sekolah.
"Satu pelan komprehensif telah dirangka mengambilkira pandangan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pada masa yang sama, sesi libat urus dengan pihak berkaitan perkara ini akan diteruskan," katanya lagi.
Menurutnya,KPM akan terus menggiatkan usaha untuk memastikan segala perancangan dan tindakan adalah yang terbaik untuk masa depan pendidikan negara.