Friday, 3 September 2021

Larangan guru enggan divaksin ajar bersemuka wajar - NUTP


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong langkah Kementerian Pendidikan (KPM) yang memutuskan supaya guru yang enggan terima vaksin dilarang mengajar secara bersemuka apabila sekolah dibuka 3 Oktober nanti.


Presidennya, Aminuddin Awang, berkata dalam keadaan sekarang, sememangnya tahap keselamatan sekolah perlu diyakini semua pihak.


Justeru, katanya sudah pasti semua guru yang akan hadir bertugas wajib menerima vaksin COVID-19.


"Kita juga tidak mahu benteng yang dibina bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 di sekolah dirosakkan oleh segelintir guru yang enggan menerima vaksin ini," katanya kepada BH.


Beliau mengulas keputusan Kementerian Pendidikan untuk tidak membenarkan guru yang tidak menerima vaksin mengajar secara bersemuka apabila sekolah dibuka, Oktober ini.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata apabila sekolah dibuka kelak, guru yang tidak divaksinkan ini tidak boleh mengajar secara bersemuka dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar.


"Namun begitu, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan garis panduan tugasan untuk guru yang tidak divaksin ini dan pada masa sama, kita sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan tindakan yang boleh diambil terhadap guru yang masih belum divaksinkan ini," katanya.


Aminuddin berkata, NUTP mengharapkan agar sesi penerangan bagi menepis hujah mengapa guru-guru tidak mahu menerima vaksin ini dipergiatkan.


Katanya, mereka sepatutnya tidak boleh menggunakan logik akal atau maklumat yang tidak sahih semata-mata dalam menolak vaksin.


"Dalam hal ini, pihak NUTP yakin bahawa pihak kerajaan melalui KPM mempunyai tokoh-tokoh yang berwibawa dalam memberikan maklumat bagi menepis tohmahan negatif terhadap vaksin ini.


"Dalam tempoh yang masih panjang sebelum sekolah dibuka untuk bersemuka sepenuhnya ini, kami yakin bahawa masalah ini akan dapat diselesaikan dengan baik," katanya.


Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata pihaknya setuju dengan langkah terbaharu itu demi memastikan keselamatan murid terjamin dan meminimakan risiko jangkitan COVID-19 di sekolah.


Keselamatan dan kesihatan pelajar perlu diutamakan dan langkah itu menyakinkan juga ibubapa untuk bersedia menghantar anak-anak ke sekolah.


"Saya harap pihak kementerian terus melakukan insentif memujuk guru yang belum mnerima vaksin untuk bersedia menerima vaksin.


"Sesi libat urus kementerian dengan guru terbabit perlu dilakukan oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeru dan Pejabat Pendidikan Daerah demi menyakinkan keberkesanan vaksin," katanya.


Beliau turut mencadangkan pihak KPM menyediakan skop tugas guru yang enggan di vaksin jika mereka tidak dibenarkan ke sekolah apabila sesi pembukaan sekolah.


"KPM perlu mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada dengan SOP yang baharu mengambil kira guru yang sudah vaksin, guru tidak divaksin, begitu juga pelajar yang divaksin dantidak di vaksin," katanya.


Presiden Majlis Pemuafakatan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan menyambut baik langkah kerajaan itu.


Katanya, mereka yang enggan mendapat vaksin tanpa alasan kesihatan yang sah harus meneruskan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) bukan di sekolah.


"Vaksinasi memang tidak wajib di Malaysia, tetapi penting untuk melihat masalah ini dari sudut kesihatan dan keselamatan masyarakat yang lebih luas, dan kehidupan masyarakat.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon