Sunday, 5 September 2021

Lantik penasihat akademik di sekolah seperti IPT


Suasana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seakan semakin menuju ke tahap ketepuan dan kelesuan. Ramai merasai 'renjatan akademik' termasuk ibu bapa, guru dan pelajar.


COVID-19 belum menunjukkan trend penurunan, sekali gus membayangkan PdPR akan bersambung. Berdasarkan pengumuman sebelum ini, sesi persekolahan akan dibuka bermula 3 Oktober ini secara berperingkat.


Namun, ia tidak membabitkan negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), manakala di negeri Fasa Dua, ia hanya untuk pelajar kelas peperiksaan, iaitu Tingkatan Lima dan Enam.


Manual PdPR Versi 2 Kementerian Pendidikan (KPM) menekankan setiap murid berhak mendapat akses pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan.


Oleh itu, murid berhak mendapat peluang mengikuti pendidikan, meskipun tidak dapat hadir ke sekolah.


Pembabitan pelajar dalam PdPR makin merundum memberi petunjuk bahawa motivasi dan semangat belajar juga begitu. Ini bukan disebabkan isu ketidakcukupan peranti dan data, sebaliknya ledakan emosi dan jiwa akibat kelesuan belajar.


Semua pihak memang melaksanakan peranan dalam meneruskan kelangsungan agenda PdPR, tetapi apakah disebabkan PdPR terlalu lama menyebabkan pelajar mula jemu?


Manual PdPR Versi 2 turut menekankan guru perlu mengadakan perbincangan sesama sendiri untuk mengelakkan murid menerima banyak tugasan atau kerja rumah pada satu-satu masa.


Pelbagai pendekatan digunakan guru demi memastikan kelangsungan pemahaman pelajar. PdPR berlangsung hampir setahun setengah termasuk membuat saluran Youtube, Google Classroom dan Blackboard. Bagaimanapun, pelaksanaan PdPR masih perlu dipertingkatkan, manakala kelemahannya segera ditampung, sekali gus memerlukan penambahbaikan.


Antara cadangan remedi untuk menjayakan agenda kemenjadian pelajar secara holistik adalah mempelbagaikan kaedah pedagogi dan penilaian seiring iklim pendemik.


Dalam usaha guru menghabiskan sukatan pelajaran ditetapkan, faktor keciciran pemahaman pelajar perlu diambil perhatian serius.


Kadar keciciran murid pada peringkat sekolah rendah meningkat daripada 0.12 peratus pada 2019 kepada 0.13 peratus (2020), manakala pelajar sekolah menengah meningkat daripada 1.14 peratus kepada 1.26 peratus untuk tahun sama.


Peningkatan itu perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan pertambahan pada tahun mendatang. Transformasi kaedah penilaian perlu dilaksanakan dengan tidak menganaktirikan pelajar gagal untuk mengikuti PdPR berdasarkan jadual.


Ini bagi menukar set pemahaman guru yang bukan sekadar berpaut dengan penilaian konvensional dilakukan di bilik darjah. KPM boleh membangunkan rubrik sesuai dan boleh digunakan secara hidbrid, iaitu bersemuka dan PdPR.


Dalam melestarikan agenda kemenjadian pelajar, peranan guru kelas perlu diberikan ramuan baharu. Kewujudan penasihat akademik (PA) di institusi pendidikan tinggi (IPT) boleh diadaptasi pada peringkat sekolah.


Contohnya, guru mengadakan sesi sembang santai bersama pelajar minimum seminggu sekali untuk merapatkan hubungan, sekali gus mengetahui masalah pelajar dalam PdPR.


Pendekatan kehadiran diwajibkan hanya dengan mengisi pautan diberikan berdasarkan jadual, ibarat menafikan pelajar yang tidak dapat mengikuti PdPR kerana kekangan dihadapi.


Kaedah mengambil kehadiran pelajar juga boleh menggunakan konsep keberadaan pelajar ketika menghantar tugasan atau penilaian diberikan. Ia memberi ruang kepada pelajar menyiapkan amanah tugasan atau kerja sekolah lebih ikhlas dan jujur. Dalam melestarikan objektif PdPR, jangan sampai kita abaikan kalimat termeterai dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI).


Pensyarah Politeknik Melaka


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon