Sunday, 12 September 2021

Ibu bapa bimbang kesan sampingan suntikan vaksin - PAGE


KUALA LUMPUR: Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) mengakui ada ibu bapa bimbang apabila pelajar akan mula menerima suntikan vaksin COVID-19.


Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata ibu bapa berasa risau akan berlaku kesan sampingan sebaik anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.


Katanya, pihaknya sudah menjangkakan perkara itu kerana ia menunjukkan mereka adalah ibu bapa yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak.


"Kami berusaha meyakinkan ibu bapa supaya anak mereka mendapatkan vaksin dengan memberikan nasihat yang sewajarnya, termasuk meminta mereka supaya sentiasa yakin dengan berita yang sahih dan terkini.


"Kami turut memaklumkan kepada ibu bapa supaya sentiasa memastikan mereka dan anak-anak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.


"Kami juga mencadangkan kepada ibu bapa supaya memantau kesihatan anak mereka jika sudah mendapatkan suntikan vaksin," katanya kepada BH.


BH hari ini melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan semua 3.2 juta golongan berusia 12 sehingga 17 tahun lengkap divaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 (PICK) remaja menjelang hujung tahun ini.


Pemberian vaksin itu akan dimulakan segera menerusi dua fasa iaitu pertama akan diberikan kepada kira-kira sejuta remaja berusia 16 dan 17 tahun iaitu pelajar akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Bagi fasa kedua, program vaksinasi itu akan diperluaskan kepada kira-kira dua juta remaja berusia 12 sehingga 15 tahun.


Noor Azimah berkata, bagaimanapun, setakat ini pihaknya tidak berdepan kesukaran untuk meyakinkan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka mendapatkan suntikan vaksin.


Katanya, PAGE bersetuju dengan usaha itu namun ia perlu dijalankan dengan segera dengan memberi keutamaan kepada pelajar berusia 16 dan 17 tahun terlebih dahulu.


"Vaksin perlu diberikan secepat mungkin tanpa melambatkan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka.


"Selain itu, tidak boleh memaksa jika ada pelajar yang enggan menerima suntikan vaksin jika ibu bapa mereka berasa was-was," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon