17 September - Keputusan menggunakan Fasa 1-4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai asas di dalam membuat keputusan pembukaan sekolah pada 3 Oktober tidak begitu sesuai malah sudah tidak relevan.
Perkara tersebut diluahkan oleh pakar pendidikan yang juga pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad.
"Sepatutnya lebih tepat KPM menggunakan data kes mengikut mukim atau daerah.
"Sebagai contoh, data 15 September 2021 menunjukkan Sarawak berada dalam negeri fasa tiga pelan Pemulihan Negara. Maksudnya KPM telah membenarkan sekolah di Sarawak dibuka. Sedangkan kes di Sarawak masih tinggi jika kita merujuk kepada data kes daerah atau bahagian di Sarawak.
"Hanya beberapa daerah/bahagian sahaja di Sarawak yang menunjukkan kes harian yang rendah dan terkawal seperti Maradong (4 kes), Konawit (4 kes), Julau (4 kes), Matu (3 kes), Lundu (2 kes), Telang Usan (2 kes), Beluru (6 kes) dan Bukit Mabong (2 kes).
"Manakala daerah lain masih sangat tinggi seperti Kuching (1,866 kes harian). Tetapi oleh kerana Sarawak berada di negeri fasa 3, KPM membenarkan sekolah di Kuching juga dibuka," katanya.
Beliau berkata, di negeri fasa 1 seperti Johor ada mukim yang langsung tiada kes harian tetapi sekolah tidak dibenarkan dibuka. Misalnya mukim Kundang (tiada kes), Pulau-Pulau (tiada kes), Sembrong (tiada kes) dan Kambau (tiada kes).
Begitu juga di negeri fasa 2 seperti Selangor ada mukim kes harian adalah sifar tetapi sekolah diarahkan kekal ditutup seperti mukim Hulu Tinggi (tiada kes harian), Sungai Gumut (tiada kes), Sungai Tinggi (tiada kes) dan Kuala Kalumpang (tiada kes).
"Mengapa sekolah di kawasan selamat di negeri fasa satu dan dua kekal ditutup sedangkan sekolah negeri fasa 3 di daerah kes tinggi telah dibenarkan untuk dibuka?
"Sebab itu menggunakan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara sebagai asas pembukaan sekolah adalah kurang sesuai.
"Sepatutnya KPM menggunakan data kes mukim atau daerah sebagai asas membuat keputusan pembukaan sekolah. Itu lebih selamat dan tepat," jelas beliau lagi.