Friday, 6 August 2021

Teruskan PdPR sehingga kes berkurangan secara drastik - Ibu Bapa

Ali Mohamad

Melaka: Jumlah jangkitan harian Covid-19 melepasi 20,000 kes semalam dan hari ini, mendorong ibu bapa menyarankan sesi persekolahan bakal dibuka mulai September hadapan ditangguh.


Justeru rata-rata mereka menyarankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sekurang-kurangnya sehingga Disember atau sebaik selepas kes covid-19 berkurang secara drastik.


Yang diPertua Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Seri Bandar, Air Leleh, Razak Abu Hassan berkata, sesi persekolahan bersemuka hanya wajar dibuka apabila kes jangkitan covid-19 jatuh di bawah angka 4,000 kes.


Katanya, varian baharu virus Covid-19 menggusarkan ibu bapa berikutan ia tida mempunyai gejala sekaligus menimbulkan kebimbangan.


Razak berkata, justeru sistem PdPR ketika ini perlu terus diperkemaskan dan diberi penekanan tinggi menerusi kerjasama ibu bapa di rumah untuk memantau anak-anak masing-masing.


"Bagaimanapun jika mahu juga dibuka September (sesi persekolahan ) kerajaan perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan berkesan," katanya.


Sementara itu, Ali Mohamad, 62, berkata, ramai ibu bapa masih bimbang mengenai keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka jika kembali ke sekolah dalam tempoh terdekat.


Katanya, berdasarkan perkembangan jangkitan di seluruh negara yang melebihi 10,000 kes sejak 24 Julai lalu, dia tidak menyokong pembukaan sekolah pada ketika ini selepas mendapati situasi kes melonjak mendadak.


"Bukan setakat ibu bapa yang risau malah semua lapisan masyarakat yang tidak mempunyai anak masih sekolah juga khuatir selepas mendapati kes jangkitan covid-19 terus meningkat," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon