Rayuan Seorang Kakitangan Awam: Tolonglah – Jangan Hancurkan Negara Kami
Petang tadi saya mendengar ucapan Perdana Menteri berkaitan keadaan politik semasa dan cadangan rangka persefahaman rentas parti.
Saya bukanlah orang politik. Cuma saya seorang anggota perkhidmatan awam yang pernah melalui kekalutan politik apabila Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir tiba-tiba meletakkan jawatan. Bila Perdana Menteri meletak jawatan, seluruh kabinet akan secara automatik akan meletak jawatan.
Saya masih ingat pada masa itu kes COVID-19 mula menular dalam negara. Bila Dr Mahathir tiba-tiba umum beliau meletakkan jawatan, kami terpinga-pinga. Kawan-kawan dalam perkhidmatan awam pun tertanya-tanya apakah yang akan berlaku selanjutnya. Semua kementerian tiada Menteri secara tiba-tiba.
Mungkin ada yang kata, “Ahhh, tak de Menteri, penjawat awam pun boleh buat kerja”. Tidak semudah itu sebenarnya tuan-puan. Pengurusan Kerajaan ada kaedahnya. Di dalam mana-mana kementerian, banyak punca kuasanya terletak kepada Menteri. Dasar dan hala tuju juga memerlukan pertimbangan dan persetujuan Menteri. Bukan boleh suka-suka penjawat awam buat semua benda.
Saya bagi contoh, Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang digunakan untuk mengawal jangkitan COVID-19. Dalam Akta tersebut, banyak perkara dibawah bidang kuasa Menteri. Salah satunya seperti berikut:
6. (1) Bilamana pemberitahuan diterima di bawah Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa bahawa terdapat suatu kawasan jangkitan di luar Malaysia, Menteri boleh melalui perintah dalam Warta mengisytiharkan kawasan itu sebagai suatu kawasan jangkitan bagi maksud Akta ini.
Jadi, kalau tiada Menteri, siapa yang akan mengisytiharkan sesuatu kawasan itu kawasan wabak bagi membolehkan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Jadi, habislah bercelaru semua pengurusan COVID-19 kita sekiranya tiada Menteri untuk menandatangani pengisytiharan tersebut.
Itu baharu sedikit urusan yang menunjukkan bahawa tatacara pengurusan negara memerlukan keberadaan seorang Menteri di Kementerian.
Bila saya dengar ucapan Perdana Menteri tadi, saya tersentuh. Beliau memahami bahawa perletakan jawatan beliau boleh memberi kesan negatif yang amat besar dalam urusan kita menangani kemelut COVID-19. Jangan ambil mudah perkara ini. Jangan dek kerana ada pihak tidak pernah diam daripada bermain politik, usaha gigih kami semua frontliners dan kakitangan awam dalam menangani COVID-19 menjadi sia-sia dalam sekelip mata.
Tawaran gencatan senjata dengan pelbagai usaha penambahbaikan kepada tataurus negara dan Parlimen sepatutnya diterima dengan hati terbuka.
Kenyataan Perdana Menteri bahawa Pilihanraya Umum ke-15 paling lewat akan diadakan pada akhir Julai 2022 menjelaskan bahawa gencatan ini adalah untuk tempoh 11 bulan sahaja. Ya, 11 bulan paling lama saudara-saudari. Selepas itu semua parti-parti politik bolehlah berperang didalam PRU15 dan kami kakitangan awam akan memilih parti yang meletakkan kepentingan rakyat mendahului segalanya.
Ketepikan sekejap peperangan politik ini demi menjayakan usaha kita menangani COVID-19. Sekarang ini pun kita dapat lihat kejayaan kita menangani COVID di negeri yang kadar vaksinasinya tinggi. Jika tiba-tiba seluruh Jemaah Menteri meletak jawatan, saya amat khuatir bahawa usaha gigih selama ini akan menjadi sia-sia.
Oleh itu, saya menyeru kepada semua ahli politik, khususnya Ahli-ahli Parlimen, untuk kali ini terimalah tawaran gencatan politik ini dengan tangan terbuka. Paling lambat pun 11 bulan sahaja lagi PRU 15 akan diadakan. Tolonglah, saya merayu….
Penjawat Awam Putrajaya
13 Ogos 2021.
#copyandpaste