Putrajaya - Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) hari ini memaklumkan bahawa telah menerima hampir dua kali ganda permohonan Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara 'One-Off' melalui portal mySPP.
Perkara tersebut dimaklumkan di dalam satu hebahan umum di laman Facebook rasminya.
"Buat masa ini, SPP sedang dalam proses menyemak permohonan yang diterima, di mana daripada jumlah keseluruhan tersebut terdapat lebih 36 ribu adalah permohonan daripada graduan dan bakal graduan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda atau Diploma dalam bidang Pendidikan.
"Pelaksanaan temu duga bagi urusan pengambilan ini dijangka bermula pada hujung bulan Ogos 2021 ini," katanya.
Pengambilan khas yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin sebelum menawarkan lebih 18 ribu kekosongan jawatan tersebut telah ditutup pada 21 Julai 2021 yang lalu.