Monday, 30 August 2021

Pemberian vaksin di sekolah mudahkan ibu bapa

Imej hiasan

SEREMBAN: Sekolah wajar dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai langkah mempermudahkan proses pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada pelajar.


Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata selain memudahkan ibu bapa membawa anak ke sekolah, tindakan itu juga dapat memastikan semua pelajar tidak tercicir daripada mendapatkan suntikan vaksin.


Beliau berkata, keselamatan pelajar juga lebih terjamin sekiranya sekolah dijadikan PPV, di samping menjimatkan kos pergerakan dan perbelanjaan ibu bapa.


"Ini kerana, ibu bapa tidak perlu mengambil tempoh yang panjang untuk bergerak ke PPV yang sedia ada yang mungkin terletak jauh daripada kawasan kediaman.


"Bagi sekolah yang pelajarnya tidak ramai mungkin boleh menumpang ke sekolah atau PPV yang berhampiran," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Beliau mengulas kemungkinan pembukaan PPV di sekolah dapat memudahkan proses pemberian vaksin terhadap pelajar.


Mohd Azizee berkata, sekolah juga boleh dijadikan PPV untuk komuniti sekolah yang masih belum menerima vaksin seperti guru, kakitangan sokongan dan pekerja kontrak sekolah.


Katanya, proses vaksinasi perlu berjalan lancar dan dipermudahkan kerana ia dilihat berkesan dalam usaha kerajaan mengurang dan menyekat penularan wabak itu, sekali gus mencapai imuniti berkelompok lebih cepat.


"Kami yakin pihak sekolah tidak menghadapi sebarang masalah untuk bekerjasama dalam menjayakan usaha ini.


"Pada masa sama, kita juga berharap pihak sekolah dapat mengumpul data dan melengkapkan maklumat pelajar untuk penerimaan vaksin COVID-19, sekali gus akan melancarkan lagi proses vaksinasi.


"Usaha ini diyakini akan memberikan motivasi dan semangat kepada pelajar untuk kembali ke sekolah bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka serta memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk sesi pembukaan sekolah nanti," katanya berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dapat mempertimbangkan perkara itu.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, semalam dilaporkan berkata, pembukaan PPV di sekolah untuk proses imunisasi dalam kalangan pelajar wajar bagi memastikan tiada yang tercicir dalam menerima pelalian wabak COVID-19.


Beliau berkata, pihaknya bersetuju supaya sekolah dijadikan PPV khas untuk pelajar bagi memastikan semua pelajar yang layak tidak tercicir menerima vaksin.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon