![]() |
Imej hiasan |
PUTRAJAYA: Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekolah untuk proses imunisasi dalam kalangan pelajar wajar bagi memastikan tiada yang tercicir dalam menerima pelalian wabak COVID-19.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata pihaknya bersetuju agar sekolah dijadikan PPV khas untuk pelajar.
"Ini bagi memastikan semua pelajar yang layak tidak tercicir menerima vaksin.
"Selain itu, ia mampu memastikan keselamatan murid dan memudahkan urusan ibu bapa yang tidak perlu memperuntukkan masa dan perbelanjaan lain untuk urusan pemberian vaksin terhadap anak mereka jika proses ini terpaksa dilakukan di luar sekolah," katanya kepada BH.
Aminuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan pembukaan PPV dalam sekolah bagi memudahkan proses pemberian vaksin terhadap pelajar.
Ditanya mengenai kesesuaian membuka PPV di sekolah kurang murid yang mungkin tidak mempunyai pelajar yang ramai, Aminuddin berkata, dalam situasi sedemikian, pelajar terbabit boleh pergi ke sekolah lain yang berdekatan dan dijadikan PPV.
Aminuddin juga berkata, NUTP tidak mempunyai maklumat sama ada surat pengesahan daripada ibu bapa sudah diedarkan oleh Kementerian Pendidikan kepada sekolah atau sebaliknya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika dihubungi, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membabitkan pemberian vaksin kepada pelajar sekolah.
"Kita tunggu keputusan bersama MKN nanti," katanya.
BH sebelum ini melaporkan, KKM meluluskan untuk memperluaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, pemberian vaksin untuk remaja itu dibahagikan kepada dua golongan iaitu kepada individu berusia 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan tertentu serta semua individu berusia 16 dan 17 tahun dengan atau tanpa mempunyai masalah kesihatan tertentu.
Selain itu, implementasi bergantung kepada bekalan vaksin katanya dalam surat pekeliling yang bertarikh 12 Ogos lalu.