KUALA LUMPUR: Bapa dan seorang murid yang sebelum ini mendakwa berlaku gurauan keterlaluan di sebuah sekolah di Selangor, dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, esok.
Perkara itu dikongsi oleh bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab di laman Twitter yang turut memberitahu, anak gadisnya yang berusia 17 tahun juga dipanggil untuk memberi keterangan.
"Saya dapat panggilan dari IPD Sg Buloh meminta saya dan Ain ke sana untuk diambil keterangan ke atas sebuah laporan.
"Kami akan ke sana esok jam 5 petang bersama peguam Datuk Sankara Nair, YB Maria Chin dan YB Teresa Kok," katanya.
Semalam, dilaporkan murid terbabit akan berdepan tindakan saman RM1 juta selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Saiful Nizam menerusi ciapan di Twitter berkata, keluarganya menerima surat tuntutan daripada Tetuan Rasshidi Ema & Yung.
April lalu, media melaporkan murid terbabit mendakwa seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor bergurau keterlaluan berkaitan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu .
Semalam, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar pula berkata, pihaknya menerima notis tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu.
Isu berkenaan sebelum ini juga menjadi panas dalam media sosial.