Sunday, 4 July 2021

Sesi persekolahan bagi 5 negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara kekal seperti dalam takwim - KPM


PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pada hari ini sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sekolah-sekolah seliaanya kekal seperti mana takwim yang telah ditetapkan sebelum ini.


“Perkara ini merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh YB Menteri Kanan Pertahanan, pada 3 Julai 2021 berkaitan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa mulai 5 Julai 2021," jelasnya.


Menurut kementerian itu lagi, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.


MKN juga memberi kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah bagi guru dan murid kelas peperiksaan yang terlibat sekiranya sekolah dibuka.


"KPM ingin memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pendidikaann dalam sidang media pada 6 Jun 2021.\


"Ini bermakna, sesi PdP bagi murid kelas peperiksaan di negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara PdPR sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B," katanya lagi.


Pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan A dan 28 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B akan dibuat oleh KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan tersebut bermula.


"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya. 


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon