13 Julai - Delegasi Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP kali ke-22 yang berlangsung selama tiga hari mulai 8 hingga 10 Julai telah meluluskan tiga resolusi untuk diangkat ke peringkat yang lebih tinggi bagi tindakan yang sewajarnya oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Tiga resolusi tersebut termasuklah memohon kelonggaran syarat bagi guru-guru yang mempunyai anak-anak kecil untuk dihantar ke taska atau pusat asuhan kanak-kanak sepanjang PKP bagi memudahkan guru menjalankan PdPR.
“Taska atau pusat asuhan kanak-kanak hanya menerima anak-anak dari ibu bapa dan penjaga yang mempunyai kelulusan bekerja daripada pihak MITI sahaja, sedangkan guru-guru masih perlu memberi tumpuan penuh kepada PdPR.
“Justeru, pihak NUTP mohon agar guru-guru dapat diberi kelonggaran tersebut agar mereka dapat fokus kepada anak murid sepanjang PdPR,” katanya.
Resolusi kedua pula, NUTP memohon pertimbangan KPM menyediakan kuota khas sebanyak satu peratus daripada 18,702 jawatan kosong guru kurang upaya (OKU).
“Cadangan ini wajar diberi pertimbangan khas bagi memberi laluan kepada golongan OKU untuk bergelar pendidik dan berbakti pada anak-anak bangsa.
“Merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010: Pencapaian Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam kepada Orang Kurang Upaya,” katanya.
NUTP meluluskan juga resolusi ketiga iaitu mendesak KPM mewujudkan Kod Etika Ibu Bapa dan Penjaga semasa PdPR (Online).
“Guru-guru amat memerlukan kod ini diwujudkan semasa tempoh PKP kerana terdapat segelintir ibu bapa yang sering menggangu guru diluar PdPR dan adakalanya berlanjutan sehingga boleh menjatuhkan reputasi guru,” jelasnya lag.