Wednesday, 21 July 2021

PdPR tak sesuai bagi prasekolah, berdepan kesukaran masuk Tahun 1 - Pakar


KOTA KINABALU: Pakar kanak-kanak berkata, sistem pembelajaran dengan norma baharu susulan penularan wabak Covid-19 boleh menjejaskan murid tadika apabila mereka melangkah ke darjah satu nanti.


Kew Seih Teck dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mungkin satu alternatif ketika pandemik ini namun bagi kanak-kanak di tadika, kaedah berkenaan tidak begitu sesuai.


Katanya, kanak-kanak di tadika sepatutnya belajar sambil bermain dan kaedah itu mungkin sukar dilaksanakan menerusi PdPR.


“Kanak-kanak perlu belajar sambil bermain dan mereka juga perlu belajar daripada rakan-rakan mereka semasa bermain, kaedah ini sangat penting bagi kanak-kanak.


“Jika PdPR boleh melaksanakan konsep belajar sambil bermain ini dengan baik, ia mungkin boleh berjaya tetapi setakat ini saya tidak nampak itu berlaku,” katanya kepada FMT.

Kew Seih Teck

Kew berkata, beliau mendapat banyak maklum balas daripada ibu bapa yang mengatakan anak mereka agak sukar untuk menjalani PdPR dan perkara itu mungkin disebabkan oleh keadaan sekeliling yang berbeza berbanding ketika belajar secara bersemuka di sekolah.

Tambahnya, ramai yang tidak mampu mengadaptasi PdPR dengan berkesan), malah ada ibu bapa memberitahu anak mereka menangis sehingga tertidur ketika PdPR.


“Mereka menghadapi masalah untuk bertanya dan memahami apa yang ingin disampaikan oleh guru, mungkin ianya (PdPR) tidak menarik,” katanya.


Terdahulu, tabika, taska, tadika swasta, tadika di sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun antara yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh fasa satu dan dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).


Kebenaran hanya diberikan untuk anak-anak di mana kedua-dua ibu bapa dan penjaga merupakan petugas barisan hadapan dan bekerja dalam perkhidmatan perlu, bagaimanapun pusat pendidikan kanak-kanak itu dijangka dibenarkan untuk beroperasi semula pada fasa tiga PPN.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon