21 Julai - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa pembentangan dan perbahasan berkaitan keadaan pendidikan negara di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilakukan di Parlimen.
Perkara tersebut disampaikan melalui satu kenyataan rasmi yang dikongsikan oleh pengerusinya, YB Dr Maszlee Malik.
"Sidang ini amat penting untuk rakyat melalui Ahli Parlimen mereka mengetahui perancangan Kerajaan berhubung isu pendidikan melalui pembentangan situasi pendidikan negara dan perancangan yang telah dirangka oleh pihak KPM dan KPT.
"JKPPH berpandangan isu pendidikan negara sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti di kala wabak Covid-19 sama pentingnya dengan isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi serta seharusnya diangkat sebagai agenda dalam persidangan khas ini," katanya.
JKPPH tersebut menuntut agar Persidangan Khas Parlimen yang akan berlangsung selama 5 hari ini memasukkan pembentangan perancangan KPM dan KPT sebagai antara agenda mesyuarat.
Beliau berkata, ahli parlimen perlu diberikan ruang untuk bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan yang telah dibentangkan oleh KPM dan KPT, bagi menghormati peranan Parlimen sebagai badan semak imbang tertinggi negara.
"JKPPH ingin menegaskan bahawa rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana KPM dan KPT di waktu ini dilihat sebagai kehilangan arah dan hala tuju dalam menguruskan sistem pendidikan negara.
"Ketiadaan pembentangan dari kedua-dua kementerian ini di dalam sidang khas Parlimen hanya akan menguatkan lagi pandangan tersebut," tegasnya lagi.
Anggota Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan itu terdiri daripada YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan (Ahli Parlimen Simpang Renggam), YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN), YB Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH), YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP), YB Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN), YB Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP), YB Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN).