Saturday, 31 July 2021

Guru terima APC secara pandu lalu

Imej via FB PPD Pekan

PEKAN: Seramai 209 guru di 62 sekolah daerah ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 yang diadakan secara pandu lalu di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, di sini semalam.


Pegawai PPD Pekan Mohd Razali Mustafar, berkata pihaknya terpaksa mengadakan program berkenaan secara pandu lalu, berikutan larangan mengadakan perhimpunan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.


Katanya, walaupun acara berkenaan tidak meriah berbanding sebelum ini ia tetap memberi kenangan manis buat penerima terdiri daripada 14 guru sekolah menengah dan 48 guru sekolah rendah daerah ini.


"Saya amat menghargai kecemerlangan disumbangkan guru yang sentiasa komited dengan tugas namun disebabkan wabak COVID-19 semua rancangan terpaksa dibatalkan.


"Kita memang merancang untuk mengadakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang secara fizikal namun selepas dua kali tertangguh saya terpaksa mengambil keputusan mengadakannya secara pandu lalu," katanya, di sini semalam.


Beliau berkata, dalam masa singkat program berkenaan selesai apabila penerima hanya mengambil sijil mereka daripada kenderaan masing-masing, selain kereta dan van terdapat guru yang datang menaiki motosikal.


Mohd Razali berkata, program diadakan hari ini (semalam) akan menjadi kenangan manis buat guru apabila menerima sijil daripada dalam kenderaan yang dianggap unik.


"Saya hanya tunggu guru datang dengan kenderaan kemudian saya sampaikan sijil, cepat serta ringkas tetapi begitu bermakna buat 209 penerima," katanya.


Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, Zahamana Zainuddin, 55, berkata dia gembira apabila terpilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 yang akan menambahkan semangat untuk terus mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.


"Dalam keadaan sekarang saya reda penyampaian sijil ini dilakukan dengan cara pandu lalu diperkarangan PPD Pekan," katanya yang akan menjadikan acara berkenaan kenangan manis.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon