Tuesday, 13 July 2021

Benarkan murid ulang persekolahan pada 2022 - SAINS

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran mempertimbangkan supaya sesi persekolahan pada 2022 diulang semula bagi membantu guru dan pelajar kembali pulih selepas proses pembelajaran terganggu selama lebih setahun akibat sekatan pergerakan.


Parti Aspirasi Sains Malaysia (SAINS), parti politik berasaskan sains pertama, berkata cadangan itu adalah asas bagi dasarnya digelar “CHUPSekolah”.


Bagaimanapun, SAINS berkata ibu bapa yang tetap mahu anak mereka maju ke tahap seterusnya tahun depan juga mesti diberi pilihan berkenaan.


“Objektif utama CHUPSekolah adalah untuk memberi ruang bernafas bagi pelajar dan guru, terutama mereka yang berhenti menghadiri kelas dalam talian sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 2021 berakhir,” kata parti itu.


“Ini memberi mereka ruang untuk menangani keletihan, tekanan dan kesukaran mengatasi beban pembelajaran sepanjang tahun ini.”


Menurut SAINS, CHUPSekolah akan membolehkan pelajar yang terkesan akibat PKP merapatkan jurang pembelajaran, memandangkan ramai kanak-kanak tidak menghadiri sekolah sejak 2020.


Parti itu menegaskan CHUPSekolah tidak bererti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) patut dihentikan sepenuhnya tahun ini. Sebaliknya, ia menggesa pembelajaran dikurangkan supaya pelajar tidak terbeban dengan kerja sekolah dan peperiksaan.


Tambahnya, CHUPSekolah juga akan membolehkan guru memberi penekanan terhadap pelajar yang ketinggalan dalam pelajaran mereka ketika PKP.


SAINS turut menganggap sebagai membimbangkan, kesukaran pelajar yang tiada peranti atau terpaksa mengongsikannya semata-mata mahu melakukan PdPR.


Kata parti itu, isu lain dialami pelajar dan guru termasuk masalah internet termasuk ketiadaan akses atau sambungan bermasalah, kurang kerjasama ibu bapa dan pelajar, kerja sekolah berlebihan serta guru yang kurang berkemahiran melakukan PdPR.


SAINS kini menunggu kelulusan sebagai parti politik selepas menyerahkan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), bulan lalu.


We Share because We Care

1 comment:

  1. X perlu ulg subjek klu beri penekanan pd subjek teras dr sekarang.ni buat 2x kerja.memgla.ni semua nk sumbat.ank dan guru jd mgsa.

    ReplyDelete


EmoticonEmoticon