April lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dimansuhkan sepenuhnya bermula tahun 2021 manakala, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tahun 2021 juga akan dibatalkan. Pengumuman ini pastinya memberi kejutan dan kesan yang besar khususnya bagi kemasukan murid ke sekolah aliran khusus seperti aliran agama, teknik, vokasional dan sekolah berasrama penuh (SBP).
Hal ini disebabkan kemasukan ke sekolah aliran berkenaan sebelum ini berdasarkan keputusan penilaian sama ada UPSR untuk ke Tingkatan Satu dan PT3 untuk Tingkatan Empat. Susulan itu, perlulah dilihat apakah cara penilaian terbaik dan sesuai yang boleh digunakan bagi pengambilan murid tahun hadapan.
Walaupun terdapat penilaian yang disebut Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), adakah ia memadai dan memenuhi kriteria bagi pemilihan murid cemerlang untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh?. Oleh itu, beberapa instrumen ujian perlu dipertimbangkan bagi pemilihan murid untuk ke sekolah asrama penuh ini.
SBP adalah sekolah yang berprestij di dalam negara. Ia diwujudkan bagi menyediakan suasana persekolahan yang terancang, terkawal dan kondusif untuk mengembangkan potensi murid cemerlang ke arah melahirkan modal insan berkualiti. Justeru, alat ukur pemilihan calon murid ini tidak seharusnya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata. Pemilihan juga dibuat dari aspek personaliti, emosi dan kebolehan (aptitud) yang merangkumi ujian kepelbagaian kebolehan murid seperti keupayaan menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis. Ujian aptitud yang baik perlu mengambil kira beberapa aspek seperti kebolehan am murid, minat dan kecenderungan, bakat serta potensi untuk murid berjaya dalam pelbagai bidang.
Justeru, mengapa kita perlu ubah kepada pergantungan yang mutlak kepada pencapaian akademik semata-mata? Penggantungan kepada keputusan ujian pencapaian akademik akan menyebabkan budaya murid berlumba-lumba mengumpul bilangan A tanpa menyedari dan menghiraukan potensi diri mereka yang sebenar.
Hal ini lebih genting lagi dengan mentaliti dan persepsi murid, ibu bapa dan masyarakat apabila murid yang dianggap lulus dan berjaya hanyalah murid yang memperoleh A dalam semua subjek. Pastinya, hal ini akan menimbulkan situasi dan keadaan yang tidak sihat dalam kalangan murid selain ada yang putus harapan malahan membunuh diri kerana tidak memperoleh bilangan A seperti yang diharapkan oleh diri dan keluarga. Justeru, pertimbangan untuk kemasukan murid ke sekolah berasrama tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada pencapaian akademik mereka.
Perlukah menghantar anak ke SBP?
Masih perlukah ibu bapa untuk menghantar anak ke SBP? Adakah kejayaan menghantar anak ke SBP masih dilihat sebagai kejayaan akademik anak murid itu mahupun kejayaan ibu bapa murid? Kita perlu meneliti tujuan asal penubuhannya yang dibina pada tahun 1960-an. Tujuan asal penubuhannya adalah untuk memberi peluang kepada murid luar bandar yang kurang berkemampuan tetapi berkebolehan untuk mendapat pendidikan sempurna dan seterusnya berupaya mengubah nasib serta masa depan anak-anak dan keluarga.
Penubuhan SBP lebih banyak berlaku selepas terlaksananya Dasar Pendidikan Kebangsaan (1970) yang mana ia dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains. Hasil penubuhan itu menunjukkan kejayaan yang besar dalam kalangan pelajarnya. Justeru, ramai ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka dapat bersekolah di SBP. Permintaan yang tinggi untuk memasuki SBP dan pencapaian pelajar yang belajar di situ sudah terbukti menyebabkan bilangan SBP ditambah hampir setiap tahun. Hingga kini terdapat lebih 60 buah sekolah sedemikian terdapat di seluruh negara.
Jadi, adakah kejayaan memasuki SBP ini masih dianggap sebagai kejayaan murid dan keluarga? Sudah pasti jawapannya adalah ya dan tentu saja menjadi idaman ramai ibu bapa. Walau bagaimanapun, kita harus melihat secara praktikal isu ini. Tujuan asal penubuhan SBP adalah untuk memberi kemudahan yang terbaik bagi murid untuk belajar dalam persekitaran yang kondusif.
Justeru, ibu bapa harus lebih bersikap praktikal dalam hal ini. Sekiranya mereka dapat menyediakan kemudahan yang baik bagi pembelajaran anak-anak tanpa perlu menghantar anak mereka ke SBP, maka peluang ke sekolah begini sepatutnya diberi kepada murid yang benar-benar memerlukannya. Malahan melalui persekitaran kehidupan di asrama yang baik dan pendedahan kepada aktiviti di peringkat kebangsaan dan mahupun antarabangsa sudah tentu peluang ini sukar untuk diperoleh oleh murid yang berada di sekolah luar bandar.
Namun, kita juga tidak menafikan SBP adalah tempat yang paling baik berlakunya interaksi sosial dalam kalangan murid. Murid dari kawasan luar bandar ini akan dapat bergaul dengan rakan-rakan lain dari pelbagai latar belakang. Hal ini penting agar murid khususnya dari kawasan luar bandar ini tidak mudah mengalami kejutan budaya sekiranya berjaya meneruskan pengajian ke pusat pengajian tinggi mahupun ke luar negara.
Kejayaan memasuki sekolah berasrama pastinya akan dapat menyediakan diri murid ini dengan pengalaman, personaliti diri, dan kemahiran untuk bersosial dan berinteraksi dengan masyarakat luar dan orang lain.
Di era pandemik COVID-19 ini keadaan persekitaran pembelajaran murid di luar bandar menjadi semakin mencabar. Cabaran kemudahan capaian internet, kemudahan peralatan komputer dan bahan rujukan untuk pembelajaran tentu lebih mudah dapat disediakan sekiranya murid berada di persekitaran sekolah berasrama yang baik. Bukan itu sahaja malahan mereka juga juga dapat disediakan dengan diet dan pemakanan yang penting untuk perkembangan minda. Justeru, kejayaan murid yang berjaya memasuki sekolah berasrama ini tentunya dapat memastikan persekitaran yang terbaik dapat disediakan dan seterusnya murid ini akan dapat memperoleh kecemerlangan dalam pembelajaran mereka.
Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia