![]() |
Imej hiasan |
KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akhir bulan depan membawa harapan kepada pembelajaran secara bersemuka semula.
Selasa lalu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty buatan Pfizer-BioNTech kepada kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim bagaimanapun berharap, pihak berwajib dapat memberikan ruang secukupnya kepada pakar sains dan perubatan untuk membuat kajian mendalam.
"Memang ia satu perkembangan yang baik tetapi berikan ruang kepada pakar sains dan perubatan untuk membuat kajian mendalam mengenai pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak di bawah 18 tahun serta strateginya secara menyeluruh terlebih dahulu.
"Selain itu, ibu bapa atau penjaga perlu mendapat maklumat terperinci untuk membuat keputusan yang tepat jika ada keperluan untuk anak mereka diberikan vaksin," katanya kepada BH, hari ini.
Hari ini, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata calon SPM dan STPM akan menerima suntikan vaksin akhir bulan depan dengan suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane serta SMK (P) Bandaraya, Faizal Mohammad Arshad, berkata pihaknya tiada halangan jika kerajaan membenarkan penggunaan vaksin kepada calon peperiksaan.
"Misalnya peperiksaan terdekat adalah SPM, jadi vaksin adalah satu keperluan bagi memastikan calon dapat hadir ke kelas untuk pembelajaran bersemuka dan ia tindakan adil kepada mereka berikutan tidak melalui kelas bersemuka yang mencukupi ketika Tingkatan Empat, tahun lalu.
"Selepas ramai lagi divaksin, sekolah dapat beroperasi segera supaya kualiti pembelajaran secara maksimum untuk semua calon peperiksaan pada tahun ini," katanya sambil berharap segala kajian yang mendapati vaksin boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah 18 tahun disebar luas kepada ibu bapa supaya mereka yakin memberi kebenaran berikutan ada yang gusar terhadap implikasinya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang pula menyambut baik inisiatif kerajaan yang melaksanakan program vaksinasi di sekolah pada bulan depan, sekali gus membuka ruang kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam memulakan sesi pembelajaran bersemuka.
"Ini kerana apabila mereka dapat ke sekolah, pembelajaran semakin baik dan akan memberi kesan kepada keputusan peperiksaan.
"Selain itu, tahap keyakinan diri untuk terlindung daripada wabak COVID-19 juga akan semakin meningkat dan ini akan memberikan lebih ruang kepada guru dan pelajar untuk menumpukan perhatian kepada aspek mengajar dan belajar," katanya.
Bagi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam SMK Tunku Putra, Ahmad Syahmi Ahmad Sabry, keutamaan untuk vaksin dapat melindungi virus sekali gus dapat membolehkan calon peperiksaan kembali ke sekolah.
"Ini kerana kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kurang sesuai kerana adalah lebih berkesan secara bersemuka, tambahan lagi kami akan hadapi peperiksaan untuk hala tuju ke universiti.
"Namun vaksin itu diharapkan turut diberikan kepada warga guru kerana kami akan berjumpa mereka, bimbang antara kami boleh menjadi pembawa atau dijangkiti," katanya.
Calon SPM, Dhia Mirza Mohammad Firdaus, berkata pengumuman keutamaan vaksin itu cukup melegakan kerana mereka sudah menunggu.
"Keadaan calon SPM 2021 adalah berbeza dengan SPM 2020 berikutan kami tidak sempat belajar sehingga habis dan banyak perlu mengulang kaji sendiri.
"Jadi apabila Kementerian Pendidikan umum vaksin akan diberikan kepada calon SPM dan STPM serta peperiksaan seumpamanya, kami harap KPM benarkan kami ke sekolah dan belajar secara bersemuka," katanya.