Saturday, 12 June 2021

Tuduhan itu mengguris hati murid, guru - Radzi Jidin


KUALA LUMPUR: Tuduhan kononnya Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menurunkan skala Gred Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan mengguris hati pelajar serta guru.


Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana semua pihak terbabit dalam SPM 2020 terutama pelajar dan guru berusaha melakukan yang terbaik bagi mencapai keputusan cemerlang.


"Apabila saya masuk ke KPM, perkara pertama saya sebut kepada pegawai bahawa saya berada di kementerian ini bukan untuk jadi popular, saya di sini untuk melaksanakan perkara yang baik dan betul, pertingkatkan sistem pendidikan kita supaya dapat bersaing di peringkat dunia.


"Tuduhan ini tidak benar, tidak pernah saya sebut langsung berkaitan keputusan peperiksaan SPM 2020, apatah lagi meminta keputusan SPM 2020 jadi lebih baik berbanding tahun sebelum ini," katanya pada program Soal Rakyat Khas bertajuk 'Cabaran SPM Dalam Era Pandemik' yang disiarkan secara langsung hari ini.


Mengulas lanjut, Radzi berkata, mereka yang mempertikaikan keputusan SPM 2020 tidak melihat dalam konteks yang lebih luas.


Beliau berkata, kohort SPM 2020 sebenarnya melalui tempoh sekolah ketika di Tingkatan Empat, malah memasuki Tingkatan Lima apabila sekolah dibuka pada awal Januari tahun lalu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.


"Selepas itu, mereka kembali ke sekolah secara berperingkat pada 24 Jun tahun lalu sehingga November tahun lalu. Kemudian mereka kembali ke sekolah pada awal Januari lalu.


"Jika ditambah semua ini, kohort SPM 2020 menghadiri sekolah selama 155 hari walaupun secara purata mengikut takwim KPM, mereka tertinggal selama 35 hari," katanya.


Malah, beliau berkata, kadar kehadiran pelajar peperiksaan di seluruh negara adalah 90 hingga 95 peratus.


"Tempoh ini digunakan sebaiknya oleh guru untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP)," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon