Tuesday, 29 June 2021

Tiga beradik, sepupu terkena renjatan kilat ketika PdPR

SUHASNIZA Sahaimi menunjukkan meja tempat
tiga anaknya bersama seorang anak saudara mengikuti
sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)
sebelum mereka terkena renjatan kilat di kediamannya
di Kampung Kuala Por, Hulu Terengganu. - UTUSAN

HULU TERENGGANU: Tiga beradik bersama seorang sepupu yang tekun mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terpaksa dikejarkan ke hospital selepas terkena renjatan kilat di Kampung Kuala Por di sini petang semalam.


Mangsa ialah Nur Anis Nabihah Mohd. Zammil, 17; Adam Rifqi, 10; dan Muhammad Zafran Rayqal, 7, di samping Nur Salwana Najihah Abdullah, 16.


Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu turut membabitkan ibu kepada tiga beradik berkenaan, Suhasniza Sahaimi, 39.


Suhasniza berkata, dia yang ketika itu memasak di dapur di bahagian luar rumah tiba-tiba mengalami kekejangan hingga terjatuh dengan sudip besi yang dipegangnya tercampak.


“Semasa kejadian tiada bunyi guruh dan cuaca di luar cuma hujan gerimis tetapi jiran memberitahu mereka ternampak cahaya kilat melintasi kawasan rumah kami.


“Anak-anak bersama sepupu mereka pula tekun membuat kerja sekolah dengan beberapa telefon pintar berada di atas meja dan walaupun kekejangan, saya tetap menguatkan diri bergerak dan nampak mereka juga kekejangan sambil menangis kesakitan,” katanya ketika ditemui hari ini.


Suhasniza berkata, anak bongsunya turut mengalami muntah akibat renjatan kilat itu dan kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu oleh keluarga yang tinggal bersebelahan kediaman.


Katanya, ketiga-tiga anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan manakala dia bersama anak saudara dibenarkan pulang.


Menurutnya, akibat kejadian itu bekalan elektrik rumahnya turut mengalami gangguan namun tiada sebarang kerosakan pada perkakas elektrik serta telefon pintar.


Sumber: Utusan

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon