KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah mengenal pasti profil pemilik akaun Facebook yang menularkan carta 'Skala Gred SPM' kononnya daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata semua maklumat berkaitan profil itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Hanya polis yang menerima laporan daripada LPM berkaitan penularan maklumat berkenaan.
"Namun, kita tampil membantu pihak berkuasa terbabit daripada aspek teknikal.
"Yang terbaharu, kita berjaya mengesan profil berkenaan dan ia sudah diserahkan kepada polis," katanya pada BH, hari ini.
Terdahulu, polis dilaporkan akan bekerjasama dengan SKMM bagi menyiasat laporan 'Skala Gred SPM' yang tular di media sosial kononnya daripada LPM.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, dipetik berkata siasatan kes itu sedang giat dilakukan daripada setiap sudut.
Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan 'Skala Gred SPM' yang tular di media sosial adalah daripada LPM.
KPM dalam kenyataan dipetik berkata 'Skala Gred SPM' itu menggambarkan seolah-olah ia gred pemarkahan sebenar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 serta boleh mengelirukan orang ramai terutama ibu bapa dan calon peperiksaan itu.
Kenyataan itu menyebut dakwaan berkenaan mencemar imej, kewibawaan dan kredibiliti LPM sebagai badan pentaksiran negara dan menggugat ketenteraman awam.