Malam ni menerima panggilan daripada seorang sahabat. Beliau merupakan YDP PIBG sebuah sekolah menengah, pada masa yang sama sebagai pengerusi Kumpulan Permuafakatan Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) di daerahnya.
Beliau berkongsi rasa hiba dan sayu melihat kesengsaraan masyarakat yang sangat terkesan dengan pendemik covid19 ini. Penguatkuasaan larangan pergerakan PKP yang tidak nampak bila akan berakhir ini benar-benar menjejaskan kehidupan ramai ahli masyarakat kita.
Sahabat ini baru menghantar bantuan 50 kampit beras dan 50 tray telor untuk sekumpulan penduduk di kawasan flat berhampiran sebuah sekolah berdekatan rumahnya. Bahan makanan yang dibawanya habis diagih dalam masa yg singkat, malah masih ada lagi keluarga yang memerlukan, belum mendapat bantuan makanan yg diperlukan. Kebanyakan ketua keluarga yang menerima bantuan tadi, mengenali sahabat ini sebagai YDP PIBG sekolah anak-anak mereka. Mereka sangat menghargai bantuan bahan makanan yang dihulurkan.
Sebagai insan yang prihatin dgn dunia pendidikan, yang telah menabur bakti puluhan tahun sebagai YDP PIBG beberapa sekolah, beliau menyebut, jika hendak menyediakan makanan asas untuk anak dan keluarga pun sangat mencabar, bagaimanakah keluarga ini hendak menyediakan bahan dan gajet serta data internet untuk PdPR anak masing-masing.
Itulah realiti yang sedang kita hadapi sekarang. Kesengsaraan sekelompok ahli masyarakat kita yang menghadapi kesempitan hidup ini bakal menyebabkan kesan rantaian yang lebih parah, iaitu anak-anak mereka bakal ketinggalan dalam pendidikan.
Tindakan KPM meminta guru melaporkan senarai pelajar yang tercicir daripada mengikuti PdPR sebenarnya satu tindakan yang sangat tepat dan wajar.
Ini merupakan satu usaha pengesanan awal untuk memahami kenapa seseorang murid kita tidak mengikuti sesi PdPR yang telah disusun oleh guru dan sekolah.
Kerana itu, setiap guru perlu peka dan prihatin terhadap sebarang ketidakhadiran anak murid dalam sesi PdPR masing-masing. Kita bimbang jika murid kita tidak hadir sesi PdPR, mungkin mereka dan keluarga mereka sedang kelaparan. Bagaimana hendak mengisi minda jika keperluan perut tidak terisi. Sebagai guru, kita sudah cukup dewasa untuk memahami erti penderitaan dan kesusahan.
Jika ada cadangan rumah yang kehabisan bekalan makanan mengibarkan 'bendera putih' dihadapan rumah masing-masing sebagai tanda perlukan bantuan, bagaimana pula dengan anak murid kita yang tidak mempunya apa-apa untuk mengikuti PdPR? Bendera warna apa dan di mana hendak dikibarkan?