24 Jun - Pengambilan khas guru baharu secara one-off oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terbuka kepada semua pemohon yang memiliki ijazah sarjana muda.
Dalam satu program temubual oleh Astro Awani, Dr. Rusmini Ku Ahmad, Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) memaklumkan, proses pengambilan akan dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) melalui iklan yang akan dikeluarkan pada 7 Julai ini.
"SPP akan menurunkan kuasa kepada KPM untuk mengambil calon-calon yang mempunyai bidang-bidang yang tidak dapat dipenuhi oleh ijazah sarjana muda pendidikan (ISMP) yang mempunyai ikhtisas.
"Perlu dijelaskan juga di sini, pemohon boleh terdiri daripada kumpulan yang telah mempunyai ijazah pendidikan daripada universiti awam (UA), nama-nama mereka yang telah berdaftar dengan SPP dan mereka akan melalui proses temuduga dan sekiranya lulus akan melalui proses lantikan tetap oleh SPP berdasarakan bidang dan keperluan KPM," katanya.
Menurut beliau lagi, bagi pemohon yang memiliki ijazah bukan pendidikan, mereka boleh memohon penempatan secara 'contract of service'.
Beliau berkata, pemohon perlu lulus tapisan syarat kelayakan dan kriteria yang ditetapkan oleh KPM iaitu lulus Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) dan lulus temuduga.
"Pemohon yang berjaya akan ditempatkan di sekolah mengikut bidang dan keperluan yang telah ditetapkan oleh KPM.
"Semasa mereka di sekolah ketika di dalam 'contract of service', mereka perlu memilik ikhtisas pendidikan, mereka perlu menjalani latihan pendidikan iaitu Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) yang ditawarkan oleh IPG sebelum lantikan tetap oleh SPP dibuat," jelasnya lagi.