Friday, 25 June 2021

Pengambilan Guru One-Off: PH gesa laksana temuduga bersemuka berbanding dalam talian

25 Jun - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan menggesa temuduga pemilihan guru baharu secara one-off yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Ahad lepas dilakukan secara bersemuka.


"Proses temu duga dan pemilihan calon guru untuk mengisi kekosongan lebih lapan belas ribu itu hendaklah dilaksanakan secara bersemuka bagi membolehkan individu yang benar-benar layak sahaja dipilih dan bukan sekadar melalui dalam talian dan tergesa-gesa. 


"Justeru, pemilihan yang dilakukan secara tergesa-gesa melalui proses temu duga secara dalam talian sahaja dikhuatiri tidak dapat memilih calon guru yang benar-benar berkelayakan. Hal ini jika tidak diuruskan secara profesional hanya akan meletakkan masa depan kualiti keguruan negara ini di dalam bahaya," katanya dalam satu sidang akhbar.


Menurut jawatankuasa itu lagi, perkara ini dibangkitkan setelah melihat pelbagai komentar daripada pelbagai pihak termasuklah NUTP yang menekankan kualiti guru perlu diberi keutamaan.


Jawantkuasa itu juga turut mempersoalkan nasib pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sedang menuntut di tahun akhir.


"Apakah nasib para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang sedang menuntut di tahun akhir di universiti-universiti awam? 


"Mereka bakal menamatkan pengajian dalam bidang perguruan pada seawal hujung tahun ini atau tahun hadapan, tetapi tempat mereka telah diisi oleh calon-calon yang bukan daripada bidang tersebut lantaran pengambilan terus secara beramai-ramai ini. 


"Apakah KPM dan Majlis Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Awam telah berbincang akan perkara ini?


Justeru itu, JKPPH turut mencadang beberapa langkah supaya pengambilan tersebut dilakukan secara berhati-hati dan berfasa. 


Cadangan tersebut termasuklah melantik secara tetap guru-guru interim yang kini sedang berkhidmat di sekolah dan telah memperolehi Diploma Pendidikan tetapi belum dipanggil untuk pengesahan jawatan.


Fasa kedua pula mendahulukan penempatkan calon-calon guru dalam kalangan graduan PISMP dan ISMP yang telah pun berdaftar dengan MYSPP tetapi belum mendapat penempatan yang mana jumlahnya melebihi 16,000 orang.


"Dalam fasa ketiga barulah pemilihan dalam kalangan graduan bidang lain yang benar-benar berkelayakan bagi mengisi kelompangan yang masih ada," kata mereka.


JKPPH juga menyuarakan kebimbangan berkaitan persiapan tempat bagi latihan perguruan untuk bakal guru bukan ISMP. Kenyataan Rektor IPGM yang menyebut bahawa guru-guru ambilan khas ini akan dilatih oleh IPGM menimbulkan beberapa persoalan.


"Kemudahan sedia ada di 27 IPG kampus adalah amat terhad untuk menampung pelajar yang ramai secara serentak. Ini kerana kemudahan setiap IPG Kampus hanya mampu menampung sekitar 800 orang pelajar sahaja dalam satu sesi akademik. Setiap IPG kampus sekarang telah mempunyai pelajar PISMP dan PDPP sedia pada tahap optima," kata mereka lagi.


Menurut mereka lagi, kalendar akademik baharu IPG dengan sistem tiga semester juga telah menyebabkan cuti semester IPG tidak selari dengan cuti penggal persekolahan. Ini menyebabkan sistem latihan diploma pendidikan dengan mod kursus dalam cuti (KDC) bagi guru khas ini amat sulit untuk dilaksanakan kerana akan bertembung dengan semester pengajian PISMP yang sedang berjalan.


"Masih banyak IPG Kampus yang menghadapi masalah kekurangan pensyarah kesan daripada pengambilan pensyarah baharu yang diberhentikan sebelum ini. Justeru proses pengambilan pensyarah baharu bagi semua IPG hendaklah diselesaikan dengan segera," gesa jawatankuasa tersebut lagi.


Sebelum ini, KPM melalui Menteri Kanan Pendidikan mengumumkan pengambilan baharu guru secara one-off seramai 18702 orang bagi merapatkan jurang dan menampung kekurangan guru di dalam beberapa subjek kritikal di seluruh negara.






We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon