CYBERJAYA – Pengambilan secara terbuka guru baharu yang sebahagiannya turut merangkumi golongan bukan graduan pendidikan dikhuatiri akan menjejaskan kualiti pendidikan di negara ini.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, walaupun Kementerian Pendidikan mempunyai niat dan usaha yang baik untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru, strategi yang digunakan adalah tidak sesuai.
Menurut beliau, inisiatif itu dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada struktur dan kualiti keguruan.
“Pertama, kualiti pendidikan akan terjejas bila graduan bukan ijazah pendidikan mula mengajar tanpa kemahiran pedagogi.
“Keduanya, lambakan graduan pendidikan yang lebih serius di masa hadapan. Ini akan memberi kesan kepada kewujudan institusi pendidikan guru (IPG) dan fakulti pendidikan di universiti awam seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hari ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan, masalah kekurangan guru di seluruh negara dapat diatasi melalui pengambilan khas seramai 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG41 secara serentak.
Antara negeri-negeri yang didapati berdepan masalah kekurangan guru adalah Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.
Radzi memberitahu, iklan pengambilan guru baharu akan disiarkan pada 7 Julai ini dan penempatan secara berperingkat bakal dimulakan pada Oktober.
Anuar menambah, kesediaan Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menerima graduan bukan pendidikan untuk mengisi jawatan DG41 adalah sangat mengecewakan.
Beliau memberitahu, sepatutnya hanya graduan bidang pendidikan sahaja yang layak memohon dan diterima untuk mengisi 18,702 jawatan baharu tersebut.
“Analoginya, bolehkah kita mengambil graduan bidang lain untuk menjadi doktor, peguam atau jurutera? Mengapa dalam profesyen keguruan ini dibenarkan?
“Bukankah ini satu tindakan yang tidak profesional dan akan menjejaskan kualiti keguruan negara? Apakah ibubapa bersedia anak-anak mereka diajar oleh seorang guru yang tiada langsung latar belakang pendidikan?” soalnya.
Anuar menyifatkan langkah itu seperti tahap kelas tuisyen swasta dan bukan lagi menggambarkan sebuah institusi sekolah kerajaan.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan telah melakukan tindakan yang tidak tepat dan ini akan merosakkan kualiti pendidikan di Malaysia apabila membenarkan graduan bukan pendidikan untuk mengisi jawatan guru secara one-off.