Thursday, 24 June 2021

Pengambilan Guru One-Off: Fokus kualiti bukan kuantiti - Rafidah

PETALING JAYA: Bekas menteri, Rafidah Aziz meminta Kementerian Pendidikan tidak tergesa-gesa mengambil lebih ramai guru kerana adalah penting untuk memfokuskan kualiti keseluruhan infrastruktur pendidikan yang akan menentukan masa depan negara.


“Kita tidak patut menggunakan pendekatan dan langkah sementara dalam pendidikan demi mengisi kekosongan (jawatan guru),” katanya dalam kenyataan.


Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, kerajaan perlu merujuk kajian dan laporan pakar pendidikan serta melaksanakan cadangan mereka.


Katanya, guru patut membina dan memupuk nilai baik dalam kalangan generasi muda.


“Perkara salah yang diajar atau disampaikan dengan cara tidak betul akan mempunyai kesan jangka panjang, khasnya apabila kaum, kepercayaan dan unsur sedemikian diperkenalkan berdasarkan persepsi peribadi dan subjektif.”


Beliau berkata, guru adalah kerjaya penting supaya pendidikan disampaikan dengan cara paling berkesan dan relevan bagi memanfaatkan masyarakat.


“Dalam era kemajuan pesat ini, dengan seluruh spektrum IT, konsep pengajaran itu sendiri perlu disesuaikan dan sejajar perkembangan serta keperluan global.”


Ahad lalu, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin mengumumkan kementeriannya akan mengambil 18,702 guru bagi mengisi kekosongan di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.


Antara mata pelajaran yang menghadapi kekurangan guru adalah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi di sekolah rendah, manakala Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi di sekolah menengah.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon