14 Jun - Seorang guru berkongsi pengalaman beliau menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sebagai calon persendirian dengan mendapat keputusan 2 A+ dan 1 A.
Cikgu Khairu Rasid Mohamad, seorang guru Matematik di SMK Tan Sri Jaafar Albar, Kota Tinggi, Johor memaklumkan, sehingga kini beliau telah mengambil peperiksaan tersebut sebanyak tiga kali.
"SPM kali pertama saya ambil pada tahun 2003 di MRSM Kuala Berang, Terengganu dengan memperoleh 6A1, 1A2, 3B3 dan 1C5," katanya.
Beliau yang kini hampir 12 tahun berkhidmat di sekolah berkata, terdetik di hatinya untuk mengambil peperiksaan tersebut sebagai calon persendirian bermula pada tahun 2019.
"Tujuan utama saya mengambil peperiksaan SPM adalah untuk menguji minda dan kefahaman ditambah pula dengan dengan keadaan sekarang yang soalannya semakin mencabar dan hampir keseluruhannya adalah berdasarkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
"Selain itu, saya juga ingin merasakan suasana bagaiaman anak didik saya yang sama-sama berjuang dalam dewan peperiksaan," jelasnya lagi.
Justeru itu, beliau berkata tindakannya itu juga dapat memberi suntikan semangat dan cabaran kepada anak didiknya untuk bersaing secara sihat bersama guru mereka.
"Pada SPM 2019, saya memperoleh 2A+ (Bahasa Melayu dan Matematik) dan 1B+ (Matematik Tambahan).
"Kemudian pada SPM 2020, alhamdulillah saya memperoleh 1A+ (Matematik), 1A (Bahasa Melayu) dan 1A- (Matematik Tambahan)," katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan, sebaik sahaja keputusan SPM 2020 dikeluarkan tempoh hari, beliau terus membuat pendaftaran SPM Ulangan 2021 dan SPM 2021 yang bakal dijadualkan pada Mac 2022.
Beliau juga berazam untuk mengambil peperiksaan berkenaan setiap tahun jika tiada kekangan atau halangan.