![]() |
Imej hiasan |
KUALA LUMPUR: Graduan pendidikan diharap memanfaatkan peluang ditawarkan melalui pengambilan khas guru secara 'one-off' oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengisi kekosongan jawatan itu, bermula Oktober ini.
Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, ramai graduan pendidikan sebelum ini dilaporkan tidak mendapat peluang menjadi guru dan terpaksa bekerja dalam bidang tidak sepadan dengan kelulusan.
"Langkah diambil KPM ini bertepatan dengan situasi semasa, yang mana ramai graduan pendidikan menganggur dan terpaksa bekerja di luar bidang mereka, termasuk ada yang menjadi pengawal keselamatan.
"MPPK berharap peluang ini dapat dimanfaatkan mereka supaya tidak ada lagi keluhan daripada graduan pendidikan mengenai ketiadaan peluang pekerjaan," katanya kepada BH, hari ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, hari ini mengumumkan, KPM akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.
Radzi berkata, ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41, dengan iklan pengambilan akan disiarkan pada 7 Julai ini, manakala penempatan secara berperingkat akan bermula pada Oktober.
Katanya, KPM berdepan cabaran kekurangan calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG), selain ketidaksepadanan opsyen mata pelajaran.
Muhammad Amir Asyraf berkata, pengambilan guru secara 'one-off' dan besar-besaran itu diharap dapat menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri.
"Ia juga dilihat sebagai langkah menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan lancar ketika pandemik COVID-19," katanya.