PUTRAJAYA - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzin Jidin memberi jaminan akan mengutamakan graduan pendidikan yang masih belum ditempatkan di mana-mana sekolah untuk pengambilan guru baharu secara one-off.
Beliau memaklumkan perkara tersebut di dalam satu hantaran di Facebook beliau.
"Saya dapati ada luahan kegusaran dalam ruangan komen FB berkaitan pengumuman pengambilan guru secara one-off. Luahan tersebut menggambarkan seolah-olah ambilan guru secara one-off ini tidak mengutamakan graduan pendidikan.
"Sebenarnya, saya telah jelaskan semasa sidang media semalam bahawa graduan pendidikan akan diberikan keutamaan dalam pengambilan khas ini. Ia tertakluk kepada mereka yang memenuhi kriteria yang ditetapkan dan berjaya dalam semua tapisan yang akan dilaksanakan," jelasnya.
Beliau juga meminta agar semua merujuk kembali rakaman sidang media yang telah diadakan semalam.
"Sekiranya calon berjaya dalam kalangan graduan pendidikan masih tidak mencukupi disebabkan ketidakpadanan opsyen, maka urusan pengambilan akan diperluaskan kepada graduan bukan pendidikan, tertakluk kepada kesesuaian.
"Boleh rujuk penjelasan saya semalam dalam video ini," katanya lagi.