KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah baik sebarang kelompongan atau kekurangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bagi memastikan kelancaran peperiksaan itu untuk calon tahun ini.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pelbagai perkara dipelajari KPM ketika pelaksanaan SPM 2020 termasuk dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.
"Kita akan meneliti satu persatu untuk memastikan proses ini terus ditambah baik kerana ini adalah proses penambahbaikan yang berterusan.
"Jadi kita akan melihat apa jurang yang ada dan boleh kita rapatkan. Ini akan diambil kira untuk SPM 2021," katanya pada program Soal Rakyat Khas bertajuk 'Cabaran SPM Dalam Era Pandemik' yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Radzi berkata, SPM 2020 menjadi penanda aras apabila banyak pembaharuan dilakukan seiring situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Beliau berkata, antaranya, buat kali pertama dalam sejarah, sebanyak 83 kertas peperiksaan kecuali subjek seni visual diperiksa secara dalam talian.
"Kita melakukan semua ini untuk mengehadkan pergerakan dan kaedahnya melakukan pemarkahan secara dalam talian keseluruhannya.
"Bayangkan lebih lima juta skrip (kertas jawapan peperiksaan) perlu diimbas satu persatu. Ini juga memudahkan kerana kita tidak lagi perlu mencari kertas terbabit di bilik kebal atau sebagainya, hanya perlu cari secara dalam talian," katanya.
Selain itu, Radzi berkata, tempoh pengeluaran keputusan SPM dipendekkan daripada 90 hari selepas tarikh akhir peperiksaan kepada 76 hari.
"Calon juga tidak lagi perlu mengambil keputusan di sekolah, sebaliknya dibuat secara dalam talian.
"Slip keputusan juga dimuat turun secara dalam talian, manakala sijil SPM boleh diperoleh dalam tempoh sebulan berbanding lima hingga enam bulan sebelum ini," katanya.