KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat fasa melibatkan pelan peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Ujar beliau, setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan 'Tiga Indikator Ambang Utama' ataupun 'threshold' untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
"Indikator pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian. Indikator kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).
"Indikator ketiga ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin," ujar beliau.
Muhyiddin berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri bertajuk Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan fasa pertama: Pelaksanaan PKP Menyeluruh - yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.
"Kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua PKP setelah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes.
"Antara lain sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin," katanya.