PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menggesa penggantinya, Radzi Jidin serta dua timbalannya bersuara berhubung isu melibatkan pelajar sekolah Ain Husniza Saiful Nizam, yang mendedahkan ‘gurauan rogol’ gurunya baru-baru ini.
Maszlee yang memuat naik beberapa hantaran di Twitter menggesa Radzi serta timbalannya, Dr Mah Hang Soon dan Muslimin Yahaya supaya menunjukkan sikap kepemimpinan dan bukannya ‘mematikan’ itu.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, isu dibangkitkan Ain sebenarnya sudah lama berlaku dan perlu ditamatkan.
“Sikap ditunjukkan menteri serta dua timbalannya dalam kes ini akan mengakibatkan ibu bapa lebih sukar mempercayai pihak sekolah.
“Mereka perlu lebih proaktif, jika tidak letak jawatan saja!
“Sekolah sepatutnya tempat paling selamat untuk kanak-kanak!” katanya.
Maszlee juga menggesa kementerian pendidikan melaksanakan memo dikeluarkannya ketika memegang jawatan itu pada Disember 2019, iaitu supaya memecat guru yang didapati bersalah mendera pelajar sama ada secara fizikal atau seksual.
Memo itu turut mengatakan guru yang sedang berdepan siasatan tidak boleh dibenarkan menemui mana-mana pelajar, selain amalan memindahkan guru juga perlu dihentikan segera.