Sunday, 30 May 2021

COVID-19: Guru kongsi pengalaman ‘ditidurkan’ 6 hari setelah kritikal di ICU

Kuala Lumpur: "Enam hari saya ditidurkan berikutan keadaan kritikal dan ketika tempoh itu juga tersebar dalam media sosial dan sekolah tempat saya mengajar kononnya saya sudah meninggal dunia," kata Maznah Mukhtar, 50.


Keadaan mendebarkan itu berlaku ketika cikgu sebuah sekolah menengah di Pasir Mas, Kelantan itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan.


Malah, kata Maznah, ia perkara terakhir diingati ketika berada di zon merah Hospital Pasir Mas sebelum tidak sedarkan diri.


Menceritakan saat awal apa yang berlaku, Maznah berkata, sejak 7 April lalu dia berasa tidak sedap badan selama beberapa hari dan pemeriksaan di klinik, doktor maklumkan dia demam biasa.


Bagaimanapun, keadaan tidak banyak berubah sebelum dia membuat ujian calitan di klinik dan diminta kuarantin sementara menunggu keputusan.


Beberapa hari selepas itu, keadaan semakin teruk dan dia dibawa dengan ambulans ke Hospital Pasir Mas dan disahkan positif menerusi ujian calitan RT-PCR sebelum terus tidak sedarkan diri.


Maznah terkejut apabila dimaklumkan, dia terpaksa ditidurkan berikutan keadaannya yang kritikal pada ketika itu.


Katanya, doktor maklumkan oksigen berada pada tahap rendah sehingga boleh membawa maut jika terlambat mendapatkan rawatan.


"Selama enam hari, memang saya tidak rasa apa-apa, cuma pada hari keenam saya tersedar sendiri dan terkejut apabila berada di dalam wad dengan tiub berada di dalam mulut dan tangan terikat.


"Pada ketika itu, saya yang masih dalam keadaan separa sedar, berasa kering di tekak dan terlalu sakit di seluruh badan seperti berada di ambang maut," katanya.


Ibu kepada enam anak ini mengakui hanya mampu berdoa dan berzikir untuk membina kekuatan rohani melawan sakit dialami.


"Jururawat yang datang sentiasa beri kata-kata semangat kepada saya untuk terus kuat. Mereka turut membantu membersihkan saya dengan tisu basah.


"Seorang doktor yang mengenali saya kerana pernah ke rumah untuk usrah bersama suami, beberapa kali membaca Bismillah dan berselawat sebelum mencucuk jarum untuk memasukkan ubat arteri dan ubat nadi.


"Alhamdulillah, pada hari ketujuh, tiub dikeluarkan dari mulut dan saya perlu berbaring dalam keadaan posisi meniarap supaya dapat bernafas dengan baik. Saya juga diajar teknik bernafas dengan betul," katanya.


Katanya, pada hari berikutannya, dia ditempatkan di wad biasa selama beberapa hari.


"Pada ketika itu, saya dikhabarkan suami turut ditempatkan di ICU namun tidak kritikal seperti saya. Anak yang positif menjalani kuarantin di rumah.


"Selepas empat hari di wad itu, saya dibenarkan pulang ke rumah sebelum disusuli suami enam hari kemudian," katanya.


Tambahnya, pengalaman berada di ICU selama lapan hari benar-benar membuka mata bahawa Covid-19 bukan jangkitan yang boleh diambil mudah.


"Saya bersyukur, dengan izin Allah, doa ramai pihak dan bantuan pihak hospital, saya berpeluang meneruskan hidup biarpun berdepan saat nyawa di hujung tanduk.


"Terima kasih barisan hadapan yang bertungkus lumus memberi rawatan terbaik untuk memastikan pesakit pulih.


"Harapan saya, kisah ini dapat dijadikan pengajaran untuk kita sama-sama membendung penularan pandemik ini," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon