Friday, 28 May 2021

BDR bukan alasan penjawat awam cuti, rehat dari laksana tugas - KPPA

PUTRAJAYA: Bekerja dari rumah (BDR) bukan alasan bagi penjawat awam bercuti dan berehat tanpa melaksanakan tugas harian masing-masing.


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata semua kakitangan kerajaan perlu berada di stesen masing-masing untuk meneruskan tugas harian mengikut arahan pelaksanaan BDR sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0. yang berkuat kuasa ketika ini.


“Jika ikutkan garis panduan dikeluarkan, kita sebenarnya masih bertugas walaupun di rumah dan bukannya bercuti, jadi tugas yang dilakukan di pejabat boleh dibawa ke rumah untuk dilaksanakan.


“Apabila penjawat awam berada di rumah, mereka juga tidak seharusnya meninggalkan stesen masing-masing sebagaimana ketika di pejabat,” katanya sempena perhimpunan bulanan JPA bulan Mei dan prapelancaran modul OD HRMIS secara maya melalui FB Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.


Khairul berkata, penjawat awam juga diingatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing jika terdapat keperluan untuk keluar.


Dalam pada itu, beliau berkata penambahan bilangan penjawat awam bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan isu karenah birokrasi dalam kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di negara ini sekarang.


Justeru, Khairul menasihatkan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mengoptimumkan sumber manusia di agensi masing-masing bagi mengurangkan karenah birokrasi.


Katanya, jabatan yang diberikan penugasan baharu perlu mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah berkenaan dan bukan menambah bilangan pekerja.


Menurutnya, penambahan bilangan pekerja sepatutnya menjadi pilihan terakhir.


“Nak tambah pekerja ini kita bukan kena jaga dia sehari dua tapi akan bersama dalam penjawat awam ini sehingga akhir hayat mereka,” katanya.


Malah, Khairul berkata pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai kemampuan kerajaan untuk menanggung penjawat awam.


“Dengan peningkatan negara sebanyak 3.6% berbanding peningkatan kos kepada perkhidmatan awam 8.9% termasuk elaun yang perlu ditambah, kita lihat pada masa akan datang kita tidak lagi mampu menampung beban berkenaan.


“Jika itu berlaku, kemungkinan kita terpaksa memotong pencen atau elaun perkhidmatan awam. Disebabkan itu kita perlu bertindak sekarang sebelum perkara seperti ini berlaku,” katanya.


Ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya 280 agensi kerajaan dan ada sebahagiannya sudah wujud lebih 30 tahun.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon