Thursday, 29 April 2021

UPSR mansuh: Jangan tergesa-gesa ‘kensel’ kelas tuisyen anak lagi - Pengusaha Pusat Tuisyen

Imej hiasan

KUALA LUMPUR: Ibu bapa diingatkan untuk tidak terlalu selesa dengan pemansuhan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula tahun ini, hingga tergesa-gesa menamatkan pembelajaran anak-anak di pusat tuisyen.


Ketua Biro Pembangunan dan Penyelidikan Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia (PPPTMM), Muhamad Huzaimi Abdul Ghafar, berkata pemansuhan UPSR adalah wajar supaya murid sekolah rendah tidak lagi dipaksa mengejar jumlah A dalam mata pelajaran.


Bagaimanapun, katanya, pemansuhan itu juga menandakan bermulanya cabaran baharu kepada ibu bapa untuk mempersiapkan murid ke sekolah menengah, khususnya memastikan penguasaan murid dalam empat mata pelajaran teras UPSR.


"Cabaran utama yang akan dilalui ibu bapa susulan pemansuhan ini bukan sahaja perlu memastikan anak-anak berjaya menyiapkan kerja rumah, bahkan pada masa sama menjadi 'guru' di rumah.


"Umum mengetahui bilangan murid di dalam sebuah kelas adalah antara 35 hingga 40 orang, yang disebabkan oleh kepadatan penduduk di beberapa kawasan khususnya di bandar raya.


"Ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pemerkasaan penilaian bilik darjah yang dilihat sebagai medium baharu menentukan tahap penguasaan murid di sekolah.


"Justeru, ibu bapa yang mempunyai anak yang masih di bangku sekolah rendah diingatkan supaya tidak terkejut dengan pemansuhan ini dengan menamatkan kelas tuisyen secara drastik," katanya dalam satu kenyataan.


Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak ia dibatalkan tahun lalu, manakala pembatalan PT3 mengambil kira tempoh masa yang ada bagi pelajar membuat persediaan, khususnya secara bersemuka bersama guru di sekolah.


Susulan pemansuhan UPSR, Kementerian Pendidikan akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah, selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.


Pembatalan PT3 pula akan digantikan dengan pentaksiran yang sama seperti tahun lalu iaitu melalui PKSK dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).


Muhamad Huzaimi berkata, kesinambungan pembelajaran murid Tahun Enam di pusat tuisyen masih perlu diteruskan bagi memastikan tahap penguasaan mata pelajaran teras UPSR itu tidak terjejas.


"Ini bertujuan mengurangkan kesan jangka panjang penguasaan anak-anak untuk subjek kritikal, sekali gus dapat memastikan kelangsungan pencapaian cemerlang secara berterusan," katanya.


Sumber: Berita Harian

We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon