![]() |
Imej hiasan via Cikgu Share |
Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta membatalkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2021, mengundang pandangan berbeza kelompok guru serta pakar pendidikan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, menyambut baik pemansuhan UPSR yang bakal mengubah budaya pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Percaya keputusan itu membolehkan guru memberi tumpuan sepenuhnya mengajar apa terkandung dalam sukatan pelajaran berbanding fokus melatih murid menjawab soalan peperiksaan, beliau berkata, sistem pendidikan negara mampu melahirkan murid berguna dan memenuhi aspirasi negara apabila memasuki alam pekerjaan.
"NUTP amat menyambut baik kerana ini yang kita perjuangkan sekian lama. UPSR menyebabkan sekolah jadi institusi berasaskan peperiksaan semata-mata. Pemansuhannya membolehkan sekolah kembali kepada matlamat melahirkan murid seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek, sekali gus tidak lagi sekadar jumlah A dalam mata pelajaran.
"Kemasukan ke sekolah berasrama juga tidak lagi menjadi isu kerana seperti tahun lalu, UPSR dan PT3 turut dibatalkan, namun kemasukan ke sekolah khusus, berjalan lancar menerusi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK)," katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Berhubung pembatalan PT3 2021, Aminuddin berkata, ia langkah tepat kerana jika diteruskan, pelbagai masalah akan timbul, khususnya bagaimana menghabiskan sukatan pelajaran dan kemampuan guru membuat pentaksiran seperti dikehendaki Lembaga Peperiksaan.
"Kemasukan ke Tingkatan Empat sekolah asrama penuh boleh dilakukan melalui PKPS seperti tahun lalu, malah ada lagi pentaksiran lain seperti Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Psikometrik dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang boleh dijadikan indikator pencapaian pelajar," katanya.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad pula menyifatkan pemansuhan UPSR sebagai kemenangan besar kepada perjuangan mentransformasikan pendidikan negara.
"UPSR tidak memberi manfaat terbesar kepada perkembangan pendidikan murid apabila mereka berusia 12 tahun diasingkan semata-mata dinilai menggunakan pencapaian UPSR yang terhad ukurannya, sekali gus tidak menggambarkan keupayaan keseluruhan seseorang murid.
"Setiap tahun dianggarkan 500,000 murid menduduki UPSR. Purata 10 peratus murid memperoleh A semua mata pelajaran diraikan dengan pujian dan penghargaan, namun apa yang pihak sekolah lakukan pada 90 peratus lagi murid yang lain?
"Adalah tidak wajar mengkategorikan keupayaan murid pada peringkat terlalu awal kerana ia menyebabkan mereka membina konsep kendiri yang lemah, tidak percaya pada kebolehan diri dan menganggap mereka adalah insan yang tidak berjaya," katanya.
Bagaimanapun, Anuar percaya, pemansuhan UPSR perlu diisi dengan dua perkara lain, iaitu kualiti ketekalan penilaian bilik darjah (PBD) ditingkatkan, khususnya berkait tahap kebolehpercayaan penilaian bilik darjah oleh guru dan kesahan konstruk atau dimensi yang perlu dinilai oleh guru di dalam bilik darjah.
Perkara kedua, katanya, kurikulum yang sedia ada diubah suai untuk disesuaikan dengan konsep PBD, antaranya menggantikan pembelajaran hafalan dan latih tubi yang tidak lagi sesuai, dengan kurikulum yang memerlukan murid melakukan penyelesaian masalah, kreativiti, komunikasi dan kolaborasi.
"Pemansuhan UPSR membuka peluang untuk pendidikan negara menumpukan kepada pembangunan bakat dan potensi, bukan akademik di awal usia murid. Agenda pembangunan pendidikan bakat murid mestilah dibangunkan KPM melalui aktiviti kokurikulum. Bukan sekadar aktiviti sampingan, sebaliknya mesti diangkat menjadi sama penting dengan aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah," katanya.
Bagaimanapun, tokoh pendidikan, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron tidak bersetuju dengan pemansuhan UPSR kerana berisiko melemahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta boleh menurunkan tahap hasil pencapaian pendidikan murid di sekolah.
Beliau berpandangan, KPM sepatutnya mengekalkan peperiksaan itu, tetapi mengubah format dan kandungannya daripada ujian rujukan norma kepada peperiksaan berasaskan standard.
"Oleh kerana KPM telah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), maka penaksiran berasaskan standard KSSR hendaklah supaya kita mengetahui standard pencapaian sebenar pelajar dalam mata pelajaran utama seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
"Jika UPSR dimansuhkan, kita tidak tahu tahap standard kompetensi murid dalam subjek penting ini, sekali gus berisiko melemahkan proses PdP kerana kita tidak dapat memperbaiki kelemahan pedagogi dan pembelajaran murid," katanya.
Isahak berkata, UPSR perlu diubah kerana format ujian rujukan norma yang digunakan lebih bertujuan menentukan 'ranking' dalam kalangan murid, antara yang paling tinggi dan lemah dari segi skor, sedangkan itu bukan matlamat KSSR.
Menerusi format dan kandungan berasaskan standard, katanya, UPSR boleh digunakan untuk mengetahui tahap standard penguasaan pelajar dalam sesuatu mata pelajaran, sekali gus membolehkan langkah intervensi dilakukan lebih awal menerusi kaedah PdP dan latihan yang sesuai.
"Tujuan peperiksaan atau penaksiran di sekolah bukan untuk 'ranking', sebaliknya untuk mengetahui tahap pencapaian murid berasaskan standard ditetapkan. Jika pelajar belum mencapai standard ditetapkan, apasebabnya? Apabila puncanya diketahui, kaedah PdP yang sesuai boleh dilaksanakan untuk memperbaikinya.
"Jika kita mansuhkan UPSR, kemungkinan besar kelemahan murid akan berterusan dan menjadi bertambah teruk di peringkat menengah," katanya.
Sumber: Berita Harian