Monday, 19 April 2021

Sekolah asing pelajar ikut kaum selesai mengadap TMJ

JOHOR BAHRU: Semua sekolah di Johor dilarang sama sekali melakukan pengasingan pelajar berdasarkan kaum untuk aktiviti kokurikulum, kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Tunku Ismail berkata, institusi sekolah di negeri itu tidak boleh tersasar daripada pembentukan Bangsa Johor yang mengutamakan perpaduan antara kaum bawah satu identiti.


Baginda memberi peringatan tegas itu selepas menerima menghadap Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Bentara Luar, Abdul Razak Hamid, Pegawai Daerah Batu Pahat, Ismail Abu dan Timbalan Pengarah JPN yang memangku tugas Pengarah JPN negeri, Sahilon Abd Halim.


“Saya telah bertitah kepada pengetua sekolah dan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Johor bahawa kejadian ini tidak patut berlaku lagi di mana-mana sekolah di negeri Johor,” kata Tunku Ismail di Facebook hari ini.


“Kejadian ini perlu dielakkan untuk mengekalkan kesejahteraan awam dan perpaduan rakyat,” katanya.


Semalam, Abdul Razak, tampil memohon maaf kerana tindakan sekolah melaksanakan pendaftaran aktiviti korikulum pelajar berdasarkan kaum mereka.


Di bawah dasar itu, hanya pelajar kaum tertentu dibenarkan menyertai kelab atau sukan tertentu.


Contohnya, pasukan bola sepak sekolah hanya boleh merangkumi pelajar Melayu, manakala bola keranjang adalah untuk pelajar Cina sahaja.


Tunku Ismail, yang turut menerima menghadap pengurusan sekolah itu semalam, membayangkan isu itu selesai.


Bagaimanapun, Tunku Ismail menegaskan institusi sekolah di negeri itu tidak harus melakukan sesuatu yang bercanggah dengan pemupukan Bangsa Johor yang menekankan perpaduan kaum.


Tunku Ismail berkata, sekolah adalah tempat menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Johor, bukan untuk memecahbelahkan masyarakat.


Jumaat lalu, FMT melaporkan tular di media sosial satu surat dikeluarkan oleh sekolah berkenaan yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar tingkatan satu.


Rata-rata warganet mengecam dan tidak bersetuju dengan tindakan pihak sekolah meletakkan syarat kaum ke atas pelajar dalam memilih jenis sukan yang ingin diceburi ketika mendaftar dalam talian.


Berdasarkan kandungan surat itu, seorang pelajar hanya dibenarkan memilih satu jenis sukan daripada senarai 12 jenis permainan yang ditawarkan.


Pilihan terhad mereka itu dikekang lagi dengan syarat mengkhususkan pelajar kepada sukan tertentu berdasarkan etnik.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon