![]() |
Parameswari, 43, ibu kepada pelajar Tahun 3, berkata,anaknya tidak pernah merungut berkenaan ruangan khas untuk makan yang disediakan oleh pihak sekolah. |
PETALING JAYA: Tidak menjadi masalah, sebaliknya ia mendidik rasa hormat terhadap amalan agama lain, itu respons ibu bapa apabila diminta mengulas mengenai isu pelajar bukan Islam diminta makan di ruangan belakang kantin sepanjang bulan puasa.
Beberapa hari lalu, tular satu tangkap layar pesanan Whatsapp yang dipercayai dihantar oleh pihak sekolah di daerah Gombak, Selangor kepada ibu bapa.
Antara intipati pesanan itu ialah meminta anak-anak disediakan bekal dan memaklumkan pelajar bukan Islam diarah makan di ruangan belakang kantin sepanjang bulan puasa.
Menurut Parameswari, 43, ibu seorang pelajar Tahun 3 di sekolah terbabit berkata, beliau memang ada menerima pesanan tersebut, namun baginya ia bukan isu besar kerana setakat ini beliau tidak menerima sebarang rungutan daripada anaknya.
“Bagi saya tidak menjadi masalah pelajar bukan Islam diminta makan di ruangan khas belakang kantin yang disediakan pihak sekolah.
“Asalkan tempat yang disediakan itu selesa untuk makan, anak pun tidak merungut apa-apa.
“Pada pendapat saya, tindakan sekolah ini wajar kerana ia untuk mendidik pelajar bukan Islam seperti anak saya untuk hormat rakan-rakan mereka yang beragama Islam sedang berpuasa,” katanya kepada FMT.
Seorang ibu yang enggan namanya didedahkan pula berkata, tindakan pihak sekolah adalah wajar kerana dengan cara itu dapat mengajar anak-anak untuk mula berpuasa pada usia muda.
![]() |
Beberapa pelajar dilihat dipimpin oleh penjaga menuju ke kenderaan masing-masing. |
Hasil tinjauan FMT ke sekolah tersebut mendapati beberapa ibu bapa turut memberitahu bahawa hanya pada tahun ini kantin tidak beroperasi sepanjang bulan Ramadan.
Ini kerana sebelum ini pelajar bukan Islam dan yang tidak berpuasa dibenarkan makan di kantin seperti biasa.
Bagi Siti Sariah, 61, nenek kepada salah seorang pelajar sekolah berkenaan berkata, beliau kurang bersetuju apabila kantin ditutup sepenuhnya kerana ia akan menyukarkan ibu bapa yang tidak sempat menyediakan bekal untuk anak-anak dan tidak adil pula untuk pelajar bukan Islam.
“Ini sekolah kebangsaan, bukan sekolah Melayu sahaja. Buat ibu bapa bekerja khususnya yang bukan beragama Islam dan tidak sempat sediakan bekal untuk anak dan hanya harap pada jualan di kantin, jadi satu masalah juga,” katanya.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan pula berkata, tidak menjadi salah jika pelajar bukan Islam makan di ruangan yang sedikit tertutup, asalkan hak mereka dijaga dan dihormati.
“Bagi saya, tidak menjadi salah untuk murid bukan Islam makan di kawasan sedikit tertutup daripada dilihat oleh pelajar islam, tetapi biarlah tempat yang disediakan itu selesa dan tidak menyusahkan mereka.
“Hak mereka yang bukan Islam harus dijaga juga, ruang yang disediakan bukanlah terlalu terbuka dan janganlah terlalu tersorok sehingga membuatkan murid-murid berasa tidak selamat,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sunber: Free Malaysia Today