Thursday, 22 April 2021

Isu: MARA siasat dakwaan pemeriksaan murid datang bulan di sekolah

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun

KUALA LUMPUR: Susulan laporan mengatakan sebuah sekolah melakukan "pemeriksaan datang bulan" terhadap pelajar perempuan bagi mengelakkan mereka ponteng solat, Pengerusi MARA Datuk Azizah Mohd Dun berkata pihaknya sudah menggerakkan siasatan dalaman bagi meneliti dakwaan itu.


Katanya, MARA memandang serius dakwaan berlaku gangguan seksual terhadap pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).


Azizah berkata, MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku membabitkan anggota kerjanya, tambahan pula apabila ia membabitkan keselamatan pelajar di Institusi Pendidikan MARA.


"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terbabit mengikut peruntukan peraturan sedia ada demi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif, selamat dan bebas daripada sebarang ancaman termasuk gangguan seksual, eksploitasi wanita dan kanak-kanak.


"MARA juga akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan imej dan kredibiliti Institusi Pendidikan MARA (IPMA) sentiasa terpelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau mengulas desakan tiga pertubuhan wanita seperti dilaporkan sebuah portal semalam yang menggesa Kementerian Pendidikan dan MARA menubuhkan panel siasatan berhubung dakwaan penderaan dan gangguan seksual guru kepada pelajar.


Dalam kenyataan bersama itu, All Women's Action Society (AWAM), Sisters In Islam (SIS) dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls) menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan alat sulit pelajar diperiksa bagi memastikan tiada barangan larangan dibawa.


Pendedahan dibuat di laman Twitter itu, turut meliputi dakwaan pelajar diminta membuka pakaian dalam bagi menunjukkan yang mereka dalam haid semasa bulan Ramadan dan tidak boleh berpuasa.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon