SUNGAI BESAR: Seorang guru lelaki ditemui meninggal dunia dalam kenderaan di hadapan rumah di kuarters guru, di sini, semalam.
Kejadian dikatakan disedari isteri mangsa yang pulang ke rumah kira-kira jam 4.30 petang sebelum menemui guru berusia 56 tahun itu berada di tempat duduk pemandu Naza Citra dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata isteri mangsa kemudian memberitahu rakannya berhubung insiden itu.
"Susulan itu, pasukan kesihatan dari Klinik Bagan Terap yang membuat pemeriksaan, mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
"Seorang pembantu perubatan menghubungi polis untuk memaklumkan mengenai kematian mangsa pada jam 5.30 petang.
"Hasil pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan luka atau cedera, setakat ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Agus Salim berkata, isteri mangsa memaklumkan suaminya menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Besar secara berkala.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk bedah siasat, dan punca kejadian masih dalam siasatan.
tacod
ReplyDelete