Monday, 5 April 2021

Adakah tindakan ibu bapa memberhentikan persekolahan anak itu tepat?

Gambar fail via Cikgu Share

Kebelakangan ini terdapat beberapa kes selebriti memberhentikan persekolahan anak mereka kerana pelbagai alasan. Sebagai ibu bapa, adakah tindakan sedemikian dianggap tepat?


Sebenarnya, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menyekat seorang kanak-kanak mendapatkan pendidikan kerana ia adalah suatu hak asasi selain tentu sahaja ia menggugat masa depan mereka.


Dari segi hak asasi, Malaysia meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) pada 17 Februari 1995 yang antara lain menggariskan mengenai hak pendidikan bagi kanak-kanak. Hak kanak-kanak dibahagikan kepada empat kategori, iaitu hak kepada kehidupan, perlindungan, perkembangan dan penyertaan. 


Dalam hal ini, ibu bapa dan penjagalah yang mempunyai kewajipan dan tanggungjawab untuk mempertahankan hak kanak-kanak, termasuk memberikan pendidikan kepada mereka.


Pendidikan formal di sekolah adalah salah satu cara untuk menunaikan hak kanak-kanak itu. Pendidikan di sekolah ini pula tidak hanya menumpukan perkembangan akademik, tetapi turut mencakupi pembangunan aspek lain yang lebih luas iaitu kemahiran insaniah, seperti personaliti, bakat, serta keupayaan mental dan fizikal.


Pada tahun 2002, pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) mewajibkan pendidikan sekolah rendah bagi kanak-kanak di Malaysia.


Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) yang dimaktubkan pada 1957 juga adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang jelas menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh.


Usaha ini tentulah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


Akta ini juga meraikan aspirasi ibu bapa iaitu kerajaan juga perlu sediakan sistem pengajaran dan pembelajaran yang cekap. Perlu juga diambil kira prinsip am bahawa murid harus dididik mengikut hasrat ibu bapa masing-masing. Namun itu tidaklah bermaksud ibu bapa boleh menghentikan persekolahan anak-anak sewenang-wenangnya.


Justeru dalam hal ini, kerajaan dikehendaki menyediakan pendidikan wajib dan percuma. Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, setiap murid mesti mendapat pendidikan meskipun mereka tidak dapat hadir atau tidak mampu ke sekolah.


Pendidikan percuma


Setakat ini, pendidikan rendah dan menengah adalah percuma untuk kanak-kanak warganegara di Malaysia dengan purata pembiayaan RM8,900 setahun untuk setiap murid di seluruh negara. Murid juga mendapat pinjaman buku teks diberikan kepada setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang keluarga manakala, beberapa jenis yuran seperti pendaftaran, peperiksaan dan apa-apa bayaran tambahan yang lain sudah dimansuhkan.

Kemiskinan antara faktor kanak-kanak
tidak dihantar ke sekolah - Imej Hiasan

Namun, masih ada keluarga yang tidak mampu menghantar anak bersekolah. Di Malaysia, tinjauan terbaharu oleh Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan kes pelajar yang kurang berkemampuan berhenti sekolah semakin meningkat. Kos pembiayaan didapati antara salah satu faktor terbesar kepada senario ini.

Dalam mengatasi masalah ini, Kementerian Pendidikan (KPM) juga menyediakan bantuan dalam pelbagai bentuk, seperti Rancangan Makanan Tambahan, Biasiswa Kecil Persekutuan dan Bantuan Awal Persekolahan. Bantuan juga diberikan dalam bentuk bantuan makanan, sukan, pendidikan khas, biasiswa dan elaun, perjalanan dan pengangkutan, kelas dewasa Orang Asli dan baucar buku. Ini adalah antara tanggungjawab yang perlu disempurnakan dalam memastikan setiap anak-anak warganegara diberi pendidikan berkualiti bagi mereka berhadapan cabaran pada masa hadapan.


Selain itu, beberapa insentif atau manfaat tambahan diperuntukkan kepada keluarga murid yang memerlukan bagi memastikan kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat di negara ini. Sekiranya keluarga murid memerlukan bantuan tambahan, terdapat pelbagai insentif di bawah kementerian yang lain diberikan. Agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat zakat dan agensi kerajaan negeri turut menyediakan bantuan dan kemudahan kepada mereka yang memerlukan.


Susulan pandemik COVID-19, pendidikan dan persekolahan anak-anak juga mengalami pelbagai episod dan cabaran. Walaupun sesi pembelajaran bersemuka sudah bermula sejak 1 Mac lalu, mungkin masih ada keluarga yang perlu berkurung di rumah atas arahan kuarantin malah mungkin ada ibu bapa yang belum bersedia menghantar anak-anak ke sekolah. Hal ini boleh diatasi menerusi perbincangan dengan guru. Mungkin sesi pembelajaran atau penghantaran tugasan oleh dibuat menerusi pelbagai aplikasi semasa atau serahan tangan oleh ibu bapa. Dalam situasi ini, ibu bapalah yang perlu memberi penerangan mengenai tugasan dan pembelajaran serta memantau aktiviti anak-anak untuk menyiapkan tugasan itu.


Begitu juga dengan inisiatif KPM memperkasakan TV Pendidikan dan dijadikan suatu sumber pembelajaran kerana ia sangat membantu anak-anak yang terpaksa berada di rumah. Bahan pembelajaran daripadanya akan membantu supaya anak-anak tidak ketinggalan dalam persekolahan.


Justeru, dengan segala bentuk bantuan yang diberikan sepatutnya tidak ada lagi kes mengenai keluarga yang daif atau anak yang tidak bersekolah di Malaysia. Setiap kanak-kanak seharusnya mendapat peluang untuk mendapatkan pendidikan kerana itu adalah hak asasi mereka.


Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Artikel asal: Berita Harian


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon