IPOH: Empat belas penumpang bas ekspres cedera apabila bas dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, selepas Terowong Menora, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa membabitkan 11 lelaki dan tiga wanita.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata panggilan kecemasan diterima jam 2.22 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Ipoh dikejarkan ke lokasi.
"Bomba mengeluarkan kesemua mangsa daripada bas berkenaan termasuk menggunakan katil pengusung dan memberi rawatan awal sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi menyelamat berakhir jam 4.39 pagi.