Sunday, 28 March 2021

Yang kritik KPM tu bukan pernah urus COVID-19 pun - Dr. Radzi

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan mengambil setiap keputusan berkaitan murid sepanjang tempoh pandemik COVID-19 mengambil kira semua aspek demi kepentingan anak-anak.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan juga diambil berdasarkan situasi semasa walaupun pelbagai pandangan negatif dilontarkan kepada pihak kementerian.


"Apa sahaja tindakan yang dibuat, kita mengambil berdasarkan maklumat pada waktu dan ketika itu. Sebagai contoh orang tanya adakah sekolah akan dibuka? Untuk hari ini saya akan menjawabnya 'ya' sekolah akan dibuka.


"Sehingga bila sekolah akan dibuka kita tidak akan ketahui kerana apa sahaja kemungkinan boleh berlaku," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gerakan Massa: 'Terima Kasih Cikgu' Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-50 di Hotel Perdana, hari ini.


Beliau berkata, sebagaimana yang berlaku ketika pengumuman persekolahan Januari lalu, pada asalnya beliau mengumumkan sekolah dibuka secara bersemuka pada 20 Januari.


"Namun, keputusan akhir terpaksa diambil dengan menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka memandangkan kes harian COVID-19 begitu tinggi sehingga mencecah 4,000 kes.


"Ketika itu ramai yang kata menteri ini sekejap begitu, sekejap begini tetapi semua orang boleh sembang dan cakap patut buat macam itu, macam ini. Hakikatnya yang sembang itu pun tidak pernah menangani krisis COVID-19.


"Mereka sekadar hanya boleh memberi pandangan, tetapi belum ada sesiapa yang pernah melaluinya. Sepanjang tempoh itu, kami di kementerian sentiasa berbincang mencari pendekatan terbaik untuk semua pihak," katanya.


Radzi turut berterima masih kepada seluruh warga kementerian dan guru yang berjaya berdepan dengan cabaran sepanjang pandemik COVID-19 bagi memastikan semua pelajar dan murid tidak tercicir.


"Ia adalah proses yang memenatkan untuk kita semua kerana tiada siapa yang pernah melaluinya walaupun seorang guru itu sudah berkhidmat 30 tahun sebelum


ini. Namun kita tiada pilihan, itulah keadaannya, itulah situasinya, itulah kekangannya maka kita kena bergerak.


"Demi pembelajaran anak-anak, kita di kementerian akan berusaha sebaik mungkin," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon