Saturday, 27 March 2021

UAE bantu perkasa pendigitalan pendidikan negara - PM

Muar: Proses pendigitalan bidang pendidikan perlu disegerakan bagi memudahkan guru, pelajar serta ibu bapa menempuh alam persekolahan pada waktu tidak menentu terutama ketika penularan wabak Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Sehubungan itu, Perdana Menteri, berkata, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin sudah diarahkan supaya menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Khas Pendigitalan Pendidikan Negara bagi mempercepatkan proses berkenaan.


Katanya, pendigitalan pendidikan berkenaan perlu dilakukan secara menyeluruh terutama menyediakan capaian Internet yang baik terutama di kawasan luar bandar selain menyediakan peralatan dan alat peranti seperti komputer riba dan tablet, berikutan wabak Covid-19 menyebabkan persekolahan di negara kita terjejas.


"Usaha meningkatkan bidang pendidikan supaya setaraf atau lebih baik daripada negara maju tidak dapat dielakkan, termasuk mengupayakan pelajar dan guru dengan kemudahan dan alatan yang membolehkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dibuat di mana sahaja.


"Ini bermakna sistem pendidkan negara kita mesti menuju ke arah sistem pendidikan digital dengan 'hardware' (perkakasan) dan 'software' (perisian) terutama tenaga pengajar dan kandungan terbaik dan berkualiti, supaya anak kita dapat belajar dalam situasi apa sekali pun termasuk tidak perlu ke sekolah.


"Mungkin kita boleh menyelesaikan sebahagian daripadanya (pendigitalan pendidikan) dalam tempoh tak terlalu panjang, untuk membolehkan sekolah, rumah, mahu pun premis lain termasuk kedai menggunakan sistem teknolgi maklumat dengan kesalinghubungan internet tahap tinggi, seperti ketika saya lancarkan MyDIGITAL sebelum ini bagi menaiktaraf kemudahan digital negara termasuk capaian internet kepada 5G," katanya pada Program Jom ke Sekolah Parlimen Pagoh dan DUN Gambir, di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.


Hadir sama, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, EXCO Kerja raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.


Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga menyatakan kesediaan untuk membantu sektor pendidikan negara ke arah pendigitalan.


Katanya, beliau memaklumkan mengenai rancangan pendigitalan pendidikan negara kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan ketika lawatan rasmi ke negara berkenaan baru-baru ini.


"Apabila saya terangkan kepada Putera Mahkota mengenai cadangan itu, baginda kemudian menyatakan perkara itu beres.


"Saya ada bertanya apakah maksud beres seperti baginda nyatakan itu, sebelum Putera Mahkota memaklumkan UAE mungkin akan bantu kita menyegerakan pendigitalan pendidikan itu," katanya.


We Share because We Care

Comments


EmoticonEmoticon